Akhbar Harian Metro memetik sumber yang rapat dengan siasatan kes itu sebagai berkata, berdasarkan siasatan yang dilakukan, mangsa telah dikelar di bahagian leher sebelum dibakar oleh kumpulan penjenayah se hingga menjadi abu.
(Gambar – SUSPEK UTAMA: Seorang lelaki berkaian reman Ungu, yang digari dibawa ke pejabatnya di Jalan Kemboja 33, dekat Jalan Sultan Alam Shah, Banting, bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat beberapa dokumen berkaitan kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan kehilangan beberapa individu lain)
‘Hasil maklumat yang dikumpul setakat ini, polis mendapati pembunuhan itu adalah tindakan jenayah sadis yang dirancang dengan begitu rapi. Lebih mengerikan apabila semua mangsa seolah-olah dilayan seperti binatang tanpa perikemanusiaan.
‘Polis turut percaya, abu dan sisa tulang semua mangsa yang dibakar bukan hanya dibuang ke dalam Sungai Panchau, malah turut dibuang ke beberapa parit kecil berhampiran yang arusnya mengalir ke laut,’ kata sumber itu kepada akhbar itu.
Dalam sidang akhbar Ahad lalu, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata Datuk Sosilawati bersama tiga mangsa lain – pemandu dan pembantu peribadinya, Encik Kamaruddin Shamsudin, 44 tahun; pegawai bank CIMB, Encik Noorhisham Mohammad, 38 tahun; dan peguam peribadinya, Encik Ahmad Kamil Abd Karim, 32 tahun – telah dibunuh di ladang milik suspek utama di Sungai Gadung, Tanjung Sepat, Banting.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu setelah berlepas ke Banting berhubung satu urusan jual-beli tanah bernilai jutaan ringgit.
Laporan media sebelum ini berkata Datuk Sosilawati dan tiga sekutunya dipukul hingga mati sebelum mayat mereka dilumur dengan longgokan tahi lembu dan dibakar.
Abunya pula dibuang ke dalam sungai berhampiran tempat kejadian.
‘Setakat ini, polis menemui pisau yang digunakan bagi tujuan pembunuhan selepas melakukan pemeriksaan rapi di kawasan sungai dan parit berhampiran tapak ladang berkenaan malam Ahad lalu,’ kata sumber itu kepada Harian Metro.
Berdasarkan maklumat dikumpul, pisau itu telah dibuang ke dalam sungai bersama abu mayat mangsa bagi menghilangkan bukti jenayah itu.
Akhbar Berita Harian pula dalam laporannya menyifatkan senjata yang digunakan penjenayah itu sebagai ‘berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter’.
Siasatan polis kini tertumpu kepada teori bahawa pembunuhan Datuk Sosilawati memang sudah dirancang.
Ini selepas disahkan bahawa jutawan komestik itu bertemu seorang peguam di Banting bagi mendapatkan semula wang pendahuluan yang diberikan beliau kepada peguam berkenaan bagi membeli sebidang tanah bernilai RM25 juta ($11 juta) di Pulau Pinang yang boleh dijual semula pada harga RM200 juta.
Tiga mangsa lain yang turut dibunuh pula secara kebetulan berada di tempat dan waktu yang sama, lapor akhbar New Straits Times (NST) sambil memetik sumber polis.
Polis berjaya mengesan suspek utama berhubung kes itu – seorang peguam bergelar ‘Datuk’ berusia 41 dan adik lelakinya berusia 38 tahun. Enam lagi suspek turut ditahan.
Sementara itu, siasatan polis yang lebih mendalam terhadap kes pembunuhan Datuk Sosilawati menunjukkan kemungkinan adanya beberapa mangsa lain – dipercayai sehingga sembilan orang – yang dibunuh dengan cara yang sama sebelum ini, kata akhbar The Star.
Mangsa-mangsa itu kesemuanya dilaporkan hilang dan dikaitkan dengan suspek dua beradik peguam dalam pembunuhan Datuk Sosilawati itu.
Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, Ahad lalu, berkata kes empat orang yang pernah dilapor hilang akan disiasat semula berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mereka berkaitan dengan dua peguam berkenaan.
Sumber-sumber berkata mereka yang hilang ialah seorang peguam India, Encik Allal Kanthan Muthu Raja, 34 tahun; seorang wanita setempat; dan dua lelaki lain.
Encik Muthu Raja dikatakan tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu selepas diundang dua beradik peguam itu ke Banting bagi urusan tanah dan dikatakan ‘boleh pulang ke India pada hari yang sama’.
Isterinya, Cik M. Usharani, berkata suami beliau mengenali dua suspek itu sejak 10 tahun lalu.
Kali terakhir beliau dihubungi suaminya adalah pada tarikh pemergiannya ke Malaysia, kata Cik Usharani semasa dihubungi media dari Chennai, India, kelmarin.
Difahamkan, polis telah memohon kepada Pejabat Peguam Negara bagi membekukan aset, termasuk akaun bank, kedua-dua peguam itu.
Difahamkan suspek bergelar ‘Datuk’ itu memiliki sekurang-kurangnya sembilan kereta mewah termasuk tujuh kereta Mercedes Benz, bernilai jutaan ringgit.
Dia dan adik lelakinya juga dikatakan telah disingkir daripada senarai Majlis Peguam oleh lembaga disiplin pada 5 November lalu berhubung kes urus niaga hartanah di Banting.
Namun, tindakan ke atas mereka ditangguh sementara menunggu rayuan mereka pada 18 Oktober ini terhadap keputusan tersebut.