Trend baru yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat menunjukkan proses demokrasi di Malaysia yang sebenarnya, memberi peluang kepada semua pihak untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.
Sebelum ini pelakon veteran Jins Shamsudin hanya terlibat secara langsung dengan politik, atas lantikan sebagai senator, bukannya bertanding dalam pilihanraya.
Penyanyi Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin akan mewakili Pas dalam merebut kerusi Parlimen Jempol (Negeri Sembilan) manakala Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid dari PKR bertanding di Parlimen Pengerang (Johor).
Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manismu akan menentang Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dari Barisan Nasional (BN) manakala Pengerang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dayangku Intan, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN) dan Mohd Azaman Johari (Bebas).
Aishah memberitahu beliau menerima tawaran untuk bertanding di kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dengan harapan untuk menjadi ‘suara’ bagi golongan artis.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 48, berkata, pemilihan itu juga adalah merupakan satu perspektif baru dalam perjuangannya sebagai anak seni selain amanah besar PAS untuknya dan golongan artis.
“Alhamdulillah satu amanah besar dari PAS Pusat untuk saya dan pengiktirafan kepada golongan artis.
“Saya menerima tawaran bertanding dengan harapan agar dapat sedikit sebanyak menjadi ‘suara’ bagi golongan artis,” katanya
Bagi Dayangku Intan, beliau tidak gentar untuk menentang penyandang Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada 5 Mei ini kerana yakin terhadap pengaruh yang dimilikinya sebagai seorang artis.
“Bukan saya mahu cakap besar tetapi saya tidak bimbang menentang Azalina. Kalau nak ikut, nama saya juga besar tetapi saya lebih kepada dunia hiburan manakala Azalina sebagai ahli politik. Itu bezanya kami,” jelasnya
Pada PRU-13 ini, Parlimen Pengerang menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Azalina dari Barisan Nasional (BN) akan ditentang oleh Dayangku Intan yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Mohd Azaman Johari (Bebas).
Azalina menang tanpa bertanding di kerusi berkenaan pada PRU 2008.
Dayang berkata, dia berhasrat memperjuangkan nasib penduduk di kawasan berkenaan yang dianggapnya tidak mendapat pembelaan sewajarnya selain ingin mengubah kehidupan artis supaya menjadi lebih baik sekiranya memenangi kerusi berkenaan.
Katanya, artis-artis masih hidup dalam kemiskininan, tiada insuran selain mahu menuntut agar pembayaran royalti kepada pelakon dapat disegerakan.
Ditanya tidakkah dia berasa sukar daripada seorang artis dan kemudiannya terjun dalam bidang politik Dayang berkata, pada mulanya dia agak stres tetapi selepas mempunyai pengalaman sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Bahru sejak setahun lalu, masalah itu dapat diatasi.
“Mula-mula tu agak susah tetapi selepas saya faham apa yang rakyat mahukan daripada pemimpin politik mereka, barulah saya dapat menyesuaikan diri dalam dunia politik. Apa yang penting rakyat percaya terhadap matlamat saya untuk memperjuangkan mereka,” katanya.
Kemunculan Aishah dan dayangku Intan kemudiannya menceriakan lagi dunia politik artis apabila melibatkan penyanyi 80-an, Herman Tino bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Tanjung Karang, sekali gus bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru dengan BN dan PAS.