KUALA TERENGGANU – Pembangkang menyifatkan kerajaan negeri tidak serius terhadap pencegahan denggi dan zika apabila hanya memperuntukkan bajet berjumlah RM1 juta yang dianggap tidak mampu memberi pencegahan secara optimum.
ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan dalam membangunkan sistem perparitan dan longkang khususnya di kampung-kampung tradisi yang tidak mempunyai sistem perparitan yang lengkap.


“Masalah aedes ini adalah nyamuk membiak di air bertakung dan dengan RM1 juta ini melibatkan 162 mukim bermakna satu mukim ada berpuluh-puluh kampung.
“Dengan program gotong-royong ini, satu tahun sekali sahaja (boleh dibuat). Adakah satu kali setahun ini boleh mencegah aedes? Ia tidak akan selesai selagi apa yang saya buat dahulu berkaitan dengan sistem perparitan dan longkang tidak dibuat khususnya di kawasan tradisi.
“Wabak denggi banyak berlaku di kampung tradisi yang tidak ada longkang, tiada tong sampah, jadi mereka akan buang sampah merata-rata. Air pula akan bertakung bila hujan, tidak ada tempat untuk lalu dan bila berlaku lopak, inilah tempatnya,”katanya.


Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila peruntukkan menyediakan sistem perparitan hanya berjumlah RM500,000 yang dilihat tidak mampu memberi pencegahan terhadap wabak tersebut secara menyeluruh.
“Macam mana hendak selesai masalah? Ini tidak serius dengan RM500,000 hendak selesai apa? Ini persoalan yang saya selalu sebut dalam dewan ini,” katanya.
Dalam sesi sama, beliau turut menyentuh mengenai kemudahan hospital di beberapa daerah yang tidak dapat digunakan sehingga kini berikutan beberapa masalah termasuklah kemudahan dewan bedah yang tidak boleh digunakan dan juga ketiadaan pakar.





























