Kerajaan PAS Peka, Usaha Bina Kediaman Mampu Milik Untuk Rakyat

434

KUALA TERENGGANU- Kerajaan PAS Terengganu terus menunjukkan keprihatinan dalam memastikan rakyat, khususnya golongan B40, menikmati kemudahan perumahan yang mencukupi dan selesa melalui pelaksanaan projek rumah mampu milik.

Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, usaha itu dilaksanakan sama ada melalui peruntukan kerajaan ataupun penswastaan oleh pemaju-pemaju, dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Kerajaan negeri sentiasa berganding bahu bersama agensi-agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam merangka dasar perumahan yang ditambah baik supaya manfaatnya dapat dirasai oleh semua pihak,” katanya.

Beliau yang juga Exco Perumahan Kerajaan Negeri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (Rpmm) Secara Penswastaan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Menurutnya, sebanyak tiga bengkel telah dianjurkan sebelum ini untuk membincangkan hala tuju pembangunan perumahan negeri iaitu pada 7 Disember 2023, 1 hingga 2 April 2024 serta 4 hingga 5 Disember 2024.

“Bengkel berkenaan diadakan hasil kerjasama antara Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), dengan penyertaan pelbagai jabatan kerajaan, PBT, pemaju, kontraktor dan perunding.

“Pendekatan inklusif ini bertujuan memastikan Dasar Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Secara Penswastaan benar-benar menepati keperluan semasa serta selaras dengan aspirasi pembangunan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, melalui penelitian dan pemurnian dasar itu, kerajaan telah menerima satu kertas cadangan pembangunan bercampur yang melibatkan 591 unit rumah di daerah Marang.

“Kerajaan optimis penambahbaikan dasar ini akan memberi impak positif kepada rakyat, pemaju dan juga kerajaan. Penyediaan kediaman yang selesa dan mampu milik bukan sahaja meningkatkan taraf hidup masyarakat, bahkan turut memperkukuh kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat.

“Ia sekali gus mewujudkan kehidupan lebih lestari, harmoni dan seimbang di negeri ini,” katanya.