Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Kerajaan PAS Terengganu akan membina semula sebuah surau yang musnah dibadai ombak besar pada Sabtu lalu di kampung Tanjung Pantai, Kemasik.
Ahli Jawatankuasa kerja (AJK) Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, peruntukan sebanyak RM10, 000 untuk pembinaan tersebut.
“Saya mengambil tanggungjawab untuk melihat sebuah surau dibina segera melalui usaha gotong-royong nelayan dan penduduk kampung.
“Terpulanglah kepada MPKK di sini bila hendak buat, dan saya harap mereka bina secepat mungkin, kalau boleh minggu depan ‘start’ (mula),” jelasnya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan ke tempat kejadian pada semalam.
Menurutnya, peruntukan untuk membina semula surau disediakan kerana ia merupakan tempat para nelayan menunaikan kewajipan bersolat sebelum turun ke laut atau pulang.
Hanafiah menambah, projek pemuliharaan sedang diusahakan oleh kerajaan yang meliputi pembinaan struktur pemecah ombak, penambakan pasir pantai, perlindungan tebing dan mendalamkan muara bernilai RM5.2 juta dijangka siap pada bulan Mac depan.
“Kerja-kerja pembinaan belum selesai, ombak besar pula datang,” ujarnya.
“Sekali gus menjejaskan kira-kira 200 nelayan yang mendarat hasil tangkapan di situ.
“Tebing pantai sejauh 100 meter runtuh menyebabkan bangsal pendaratan nelayan, kedai Koperasi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kemasik dan sebuah rumah turut rosak,” tambah beliau.