Kemenangan Adalah Amanah, Bukan Sekadar Kejayaan

435

KEMAMAN – Kemenangan PAS di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu bukanlah semata-mata satu kejayaan, tetapi adalah amanah besar yang wajib dipikul dengan penuh tanggungjawab oleh semua pimpinan dan jentera parti.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh berkata, kemenangan ini perlu dimanfaatkan untuk membina sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, tetapi lebih penting lagi, maju dalam membina masyarakat yang beriman, bertauhid, dan taat kepada perintah Allah SWT.

“Kita gembira dengan kemenangan, tetapi kemenangan ini sarat dengan amanah yang mesti ditunaikan.

“Kerana itu saff kepimpinan menyusun himpunan ini untuk mengingatkan diri kepimpinan dan jentera termasuk diri sendiri tentang tanggungjawab,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Muslimat PAS Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas tema “Maju, Berkat, Sejahtera”, Ustazah Nuridah menekankan bahawa kemajuan yang diinginkan bukanlah semata-mata diukur melalui pencakar langit atau kemewahan material, tetapi dengan mengajak rakyat mengenal Allah dan mengamalkan ajaran Islam secara syumul.

” Adakah kita sudah cuba mengimplikasi atau merealisasikan tema yang kita selalu sebut, Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Perlu juga kita sampaikan kepada rakyat Terengganu kerana tanggungjawab memimpin telah diserahkan oleh Allah SWT kepada parti kita, jemaah kita,” ujar beliau.

Beliau turut menyeru seluruh pimpinan dan ahli agar memperkukuh tarbiyah dan budaya ilmu dalam masyarakat, mempergiatkan dakwah dan kebajikan secara berterusan, serta membangunkan organisasi parti yang tersusun dan berdisiplin.

“Muslimat bukan hanya penonton, tetapi pemegang amanah. Kita perlu menjadi pendokong visi dan misi perjuangan Islam, membantu rakyat mengenal Allah, dan memastikan setiap langkah kita mendapat keberkatan daripada-Nya,” tegas beliau.

Ustazah Nuridah turut mengingatkan bahawa kemenangan ini memerlukan istiqamah dalam prinsip Islam, bijaksana dan berhikmah dalam pendekatan, serta memperkukuh ukhuwah dan kasih sayang sesama ahli. kita.

Beliau mengajak semua untuk memperbanyakkan doa, memperkukuh hubungan dengan Allah, membaca kisah para anbiya’ dan salafussoleh sebagai panduan, serta memastikan segala usaha dilakukan kerana Allah, untuk Allah, dan demi akhirat.

“Perlu membantu sama lain untuk masyarakat mengenali dan mengagungkan Allah dan agar setiap langkah kita dibawah penelitian dan pemerhatian Allah.

“Dan satu hari nanti akan kita ditanya tentang perkara ini di hadapan Allah,” tambah beliau.