Kelebihan Hari Arafah, Aidil Adha Dan Hari Tashriq

221

Oleh : Ustaz Marzuk Shaary

Pasti ramai yang bersedih kerana tahun ini kita masih belum berpeluang dijemput ke rumah Allah S.W.T untuk mengerjakan haji.

Kita hormat dan redha dengan keputusan Kerajaan Arab Saudi yang hanya membenarkan ibadah haji dijalankan bagi warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut.

Walaubagaimanapun, kita mesti berusaha meraikan hari-hari istimewa Islam yang jatuh pada bulan ini seperti Hari Arafah, Hari Aidiladha dan Hari-hari Tasyriq dengan amalan-amalan yang dianjurkan oleh Quran dan Sunnah.

Hari Arafah misalnya, mempunyai banyak kelebihan. Pada hari itu, umat Islam yang mengerjakan haji berwukuf pada tempat dan waktu yang mulia di padang Arafah.

Manakala umat Islam yang tidak mengerjakan haji disunatkan berpuasa. Doa pada hari tersebut adalah mustajab.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang untuk berpuasa pada hari Arafah di padang Arafah.

Diriwayatkan juga daripada Sufyan bin ‘Uyainah, beliau ditanya mengenai larangan berpuasa hari Arafah di padang Arafah. Beliau berkata, ”Larangan tersebut kerana ketika itu Allah menyambut tetamu-tetamuNya, dan Tuhan tidak mahu melihat tetamu-tetamu-Nya dalam kelaparan.”

Hari Arafah, Aidil Adha dan hari-hari Tashriq adalah hari raya bagi mereka yang mengerjakan haji, hal ini dinyatakan dalam hadis Uqbah bin ‘Amir bahawa Nabi SAW bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْمُ النَّحْرِ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ وَهُنَّ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: ”Hari Arafah, Hari Raya Korban (Aidil Adha), dan hari-hari tashriq adalah kesemuanya hari raya bagi umat Islam, ia merupakan hari makan dan minum.”

(Sunan al-Tirmizi, no.773, Sunan Abu Daud, no.2419, Sunan al-Nasaie, no.3004, Musnad Ahmad, no.17379)

Aidil Adha (10 Zulhijjah) merupakan hari yang datang selepas wukuf di Arafah (9 Zulhijjah), manakala hari-hari Tashriq pula berlangsung selama tiga hari setelah itu (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

Rasulullah SAW telah menyeru kepada penduduk Mekah bahawa hari itu merupakan hari perayaan untuk kita makan, minum dan memperbanyakkan zikir.

Semoga amalan-amalan ini akan lebih mendekatkan kita kepada Allah S.W.T. Ambillah kesempatan pada hari-hari yang terpilih ini untuk kita berdoa bersungguh-sungguh agar Allah mengangkat musibah Covid-19, seterusnya mengizinkan kita untuk ke sana pada tahun hadapan.