Kejadian Pelajar Ditikam Di Sekolah; Tanda Amaran Keruntuhan Nilai Kasih Sayang Antara Manusia

66

KUALA TERENGGANU – Trajedi pelajar perempuan ditikam di sekolah pagi tadi, adalah tanda amaran keruntuhan nilai kasih sayang antara manusia.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata pihaknya memandang berat tanda-tanda keruntuhan moral dan tekanan jiwa dalam kalangan pelajar.

“Ini menuntut satu usaha nasional untuk mengembalikan roh kasih sayang, hormat dan bimbingan akhlak dalam sistem pendidikan negara.

“Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat membina ilmu dan akhlak kini terpalit dengan insiden yang mencederakan hati seluruh rakyat,” ujarnya.

Beliau yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu ( BPPNT) berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Marang itu juga imenzahirkan rasa dukacita dan simpati yang amat mendalam terhadap kejadian tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pagi tadi.

Katanya, dalam kejadian itu, mengorbankan nyawa seorang pelajar perempuan bukan Islam berbangsa Cina akibat ditikam oleh seorang pelajar lelaki, tragedi ini meruntun hati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dalam Islam, nyawa manusia adalah sesuatu yang amat suci dan bernilai tinggi.
وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا
“Barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah: 32).

“Ayat ini menjadi pedoman bahawa nilai kemanusiaan dan kasih sayang harus mengatasi segala perbezaan agama, bangsa dan latar belakang. Kematian tragis ini mengajak seluruh masyarakat untuk menilai kembali arah pendidikan, suasana sosial, dan budaya kasih sayang yang semakin pudar di kalangan anak muda hari ini, ” terangnya

DUPP juga menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia agar memperkukuh pendidikan nilai dan sahsiah di sekolah, memperhebat bimbingan kaunseling serta membina suasana pendidikan yang mendidik hati dan jiwa, bukan hanya akal dan akademik.

“Pendidikan moral yang benar harus berteraskan fitrah manusia, membina empati, mengawal emosi dan menginsafi nilai nyawa sesama insan.

“Kami turut menyeru para ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat agar sama-sama memainkan peranan dalam menanamkan semula nilai kasih sayang, tolong-menolong dan kepekaan terhadap perasaan orang lain, jwa yang gersang daripada kasih sayang akan mudah dikuasai amarah dan kehilangan arah,” katanya.

Katanya lagi, DUPP mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa. semoga mereka diberi ketabahan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian yang berat ini.

“Doa kami mengiringi seluruh keluarga, dan semoga tragedi ini menjadi pengajaran yang membangkitkan kesedaran seluruh negara,” luahnya simpati.