Kehadiran UMNO Detik Sejarah Baharu Penyatuan Ummah

2

KOTA BHARU – Kehadiran pimpinan Umno ke Muktamar Tahunan PAS kali ke-72 disifatkan sebagai satu lagi detik sejarah baharu dalam landskap politik negara yang menzahirkan usaha menjayakan gagasan besar penyatuan ummah.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menghargai kesudian Setiausaha Agung Umno, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama delegasi hadir ke muktamar berkenaan.

Menurutnya, kehadiran pimpinan Umno itu memperlihatkan perkembangan positif dalam hubungan antara kedua-dua parti, khususnya dalam usaha membina kerjasama demi kepentingan ummah.

“Sesungguhnya kehadiran pimpinan Umno ke muktamar ini merupakan satu lagi detik sejarah baharu dalam landskap politik negara yang menzahirkan unsur gigih dalam kita menjayakan gagasan besar penyatuan ummah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-72 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, hari ini.

Takiyuddin turut memetik tafsiran Buya Hamka terhadap ayat Surah al-Hujurat bahawa usaha mendamaikan dua pihak yang berselisih merupakan kemuncak maruah iman dalam usaha meraih rahmat Allah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan UMNO dan delegasi parti itu yang hadir, selain mengalu-alukan kehadiran pimpinan Bersatu, Gerakan, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) serta wakil parti politik dan NGO lain.

Kehadiran UMNO ke Muktamar PAS kali ini merupakan kali kedua selepas pimpinan parti itu turut hadir pada Muktamar PAS di Pahang pada 2019.

Sebelum ini, Takiyuddin turut memaklumkan bahawa isu penyatuan ummah dan kerjasama politik PAS-Umno dijangka menjadi antara agenda penting yang dibincangkan dalam muktamar kali ini.