KUALA TERENGGANU – Sikap kerajaan menerima kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald J.Trump ke Malaysia merupakan satu penghinaan terhadap umat Islam dan rakyat Palestin
Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman menggesa agar Kerajaan Malaysia dan pihak berkaitan segera membatalkan jemputan rasmi kepada Donald Trump serta menolak kunjungan beliau atas asas moral, etika Islam dan prinsip kedaulatan negara.
“Kedatangan Donald Trump ke Malaysia bukan sekadar kunjungan diplomatik, tetapi simbol dilema moral antara menjaga kedaulatan negara dan mempertahankan prinsip keadilan Islam sejagat.
“Negara ini tidak boleh dijadikan pentas bagi pemimpin yang dasar luar negaranya meruntuhkan kehidupan umat Islam dan menyokong operasi yang boleh dianggap sebagai ‘genosid’ terhadap manusia tidak berdosa.” tegasnya lagi.
Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Marang berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Zarani yang kecewa dengan tindakan tersebut berkata, semasa konflik Gaza terkini, Amerika Syarikat terus memberikan dukungan diplomatik, senjata, dana dan perlindungan undang-undang antarabangsa kepada Israel walaupun berlaku kematian awam dan kemusnahan besar di Gaza.
“Beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru gencatan senjata atau perlindungan kemanusiaan kepada rakyat Palestin telah dikenakan veto oleh Amerika Syarikat.
“Kritikan antarabangsa menyebut bahawa Amerika bukan terlibat secara pasif, tetapi menjadi pemain aktif dalam menyokong operasi ketenteraan yang menimbulkan penderitaan besar terhadap penduduk Palestin,” tegasnya.
Beliau yang menyelar tindakan membenarkan kedatangan Trump sebagai tetamu rasmi, Malaysia berisiko dilihat sebagai memberi legitimasi kepada pemimpin yang dasar luar negaranya membawa keruntuhan kepada negara Islam dan manusia lemah.
“Tindakan ini boleh mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang akan mempersoalkan konsistensi negara ini dalam menyokong Palestin dan menegakkan keadilan sejagat.
“Di arena antarabangsa, Malaysia juga boleh kehilangan kredibiliti moral untuk menyuarakan pembelaan kepada negara Islam yang tertindas jika kunjungan ini diteruskan tanpa bantahan tegas,” tegasnya lagi.