Kedah Tegas Tak Perbaharui Lesen Judi Seperti Kelantan, Terengganu

351

Kedah akan meneruskan tindakan undang-undang bagi mempertahankan keputusan tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri mencontohi pelaksanaan dasar sama seperti Kelantan dan Terengganu yang lebih awal menghalang perluasan aktiviti perjudian.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pendirian itu tidak akan diubah dan kes itu akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah tindakan itu selari dengan mandat rakyat yang memilih kerajaan negeri sedia ada untuk melaksanakan dasar berteraskan nilai yang diperjuangkan.

“Kita tak akan berhenti di situ, kita akan lawan. Saya kecewa dengan keputusan itu, namun kita akan bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan.

“Kita doakan supaya hujah kita dapat dikemukakan dengan cemerlang, sempurna dan dapat difahami. Inilah hasrat rakyat yang memilih kita menjadi kerajaan negeri, kenapa tidak hormati pilihan kami,” katanya berucap pada sambutan ulang tahun ke-41 dan pelancaran jentera Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) PAS Kawasan Sik,di sini, kelmarin.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Disember lalu yang menolak rayuan Kerajaan Kedah melalui keputusan majoriti 2-1, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa arahan kerajaan negeri tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Faizah Jamaludin menolak rayuan difailkan Kerajaan Kedah dan Menteri Besar Kedah atas alasan tiada merit, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, mengemukakan pendirian berbeza.

Mahkamah Rayuan antara lain memutuskan bahawa hal ehwal berkaitan perjudian dan loteri berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan kerana lesen ejen dan pengusaha perjudian dikeluarkan serta dikawal selia kementerian berkenaan.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri bertindak berdasarkan kuasa sedia ada apabila tidak memperbaharui lesen premis perjudian selaras dengan dasar negeri.

“Kita sudah jadi kerajaan, kita boleh laksanakan apa yang kita mahu berdasarkan undang-undang sedia ada. Selaku kerajaan, kita perlu gubal dasar dan polisi kita jelas, tidak lagi memperbaharui lesen premis judi di Kedah.

“Namun, polisi ini dicabar 12 operator perjudian, dua daripadanya orang Kedah dan selebihnya dari negeri lain yang beroperasi di sini.

“Kes itu dibawa peguam daripada DAP yang menentang kita di mahkamah,” katanya.