Kebuluran Terus Meningkat Di Yaman

87

Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran pada Ahad bahawa kelaparan semakin meningkat di seluruh Yaman yang dilanda perang di tengah-tengah kenaikan harga barang yang berterusan.

“Harga makanan dan kelaparan terus meningkat,” kata WFP di Twitter. “Tahap keperluan adalah tinggi dengan keluarga bergantung kepada bantuan makanan WFP untuk terus hidup.”

Agensi PBB memberi amaran bahawa krisis Yaman yang berlarutan “menghancurkan berjuta-juta keluarga.”

Keadaan kemanusiaan di Yaman diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai riyal Yaman yang mencecah lebih 1,500 riyal bagi dolar AS di kawasan di bawah kawalan kerajaan Yaman.

Sebelum tercetusnya konflik pada 2014, harga dolar adalah 215 riyal Yaman dalam pasaran tempatan Yaman.

Yaman telah dilanda keganasan dan ketidakstabilan, apabila pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran menawan sebahagian besar negara itu, termasuk ibu kota Sanaa.

Gabungan diketuai Arab Saudi yang bertujuan mengembalikan semula kerajaan Yaman telah memburukkan keadaan dan menyebabkan salah satu krisis kemanusiaan buatan manusia yang paling teruk di dunia.

Seramai 233,000 orang terbunuh, hampir 80% atau kira-kira 30 juta memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan, dan lebih daripada 13 juta dalam bahaya kebuluran, menurut anggaran PBB.