Jejak Prihatin Menyiram Jiwa, Menyubur Kasih

269

Oleh : Amir

DUNGUN- Ziarah Jejak Prihatin’ Muslimat DUN Bukit Besi menyantuni warga yang terlantar sakit dan ibu-ibu baru melahirkan anak bertujuan ‘menyiram jiwa’ dengan perasaan sayang dan ‘menyubur kasih’ kepada mereka yang ditimpa kesusahan dalam kehidupan.

Ketuanya, Hajah Zakiah Alias berkata, program ini adalah sebahagian daripada misi kebajikan berterusan yang bukan sahaja bertujuan menyampaikan sumbangan, malah memberi sokongan moral kepada golongan yang diuji.

“Matlamat Jejak Prihatin di laksanakan untuk kita mengenali golongan sasaran dan memberi sedikit sumbangan dalam membantu meringankan beban muslimat dan keluarga yang kita santuni.

“Kita akan terus memantau dan melihat ada ruang yang perlu kita bantu sekiranya perlu.

“Setakat ni kita bagi barangan dapur dan duit tunai kepada mereka,” jelasnya.

Beliau yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Yang Berhormat Haji Ghazali Sulaiman berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program ziarah, 18 Jun, Rabu lalu.

Menurutnya, program sebegini sememangnya ia adalah aktiviti berkala bukan bersifat bermusim.

“Kita libatkan PAS cawangan, Jabatan Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JPKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), masjid, surau dan semua memainkan peranan yang sangat baik membantu mengenal pasti individu yang memerlukan perhatian dan sokongan,” katanya.

Menurut Hajah Zakiah, ziarah bukan sahaja bertujuan menyantuni mereka yang sedang diuji dengan kesakitan, malah menjadi salah satu amalan mulia yang sangat dituntut dalam Islam.

“Ziarah seperti ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi lebih penting ialah kehadiran kita memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka.

“Ia juga memperkukuhkan silaturrahim dan ukhwah sesama insan,” ujarnya.

Beliau menambah, PAS sentiasa cakna kepada golongan sasaran dan tidak pinggirkan mereka dalam komuniti.

“Masyarakat akan melihat bahawa kita sentiasa ada utk mereka.

“Sangat selari dgn misi kebajikan PAS di peringkat dun Bukit Besi yang sentiasa mengutamakan kebajikan kaum ibu dan mereka yang wajib kami santuni,” tambah beliau.

Beliau turut menyeru semua aktivis Muslimat agar istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan ini, meletakkan Allah sebagai matlamat utama.

“Bidang kebajikan dan dakwah bukan perkara remeh.

“Ia mesti dijalankan secara berterusan, selaras dengan misi PAS yang mengutamakan kebajikan dan menyantuni golongan memerlukan di semua peringkat negeri, kawasan, DUN dan cawangan,” tambahnya.