Janji Manifesto, TASKA Keenam Dibuka

1252

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Janji manifesto Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU14) yang lalu untuk membuka Taman Asuhan Kanak-kanak(TASKA) di setiap jabatan kerajaan, kini taska keenam mula beroperasi di negeri ini.

Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT) Hanafiah Mat berkata,sebelum ini lima buah sudah dibuka iaitu TASKA Universiti Institut Teknologi Mara(UiTM) Dungun, Majlis Perbandaran Kemaman(MPK), Universiti Malaysia Terengganu(UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZa) dan TASKA Wisma Darul Iman.

Katanya, yang terbaharu TASKA Permata Keluarga Majlis Perbandaran Dungun(MPD) telah dibuka pada 15 Julai lalu bersebelahan Dewan Utama MPD yang telah dirasmikan pada 15 September lepas.

“Sebelum PRU14, PAS telah membuat satu janji ataupun dinamakan manifesto, walaupun ianya bukan sebuah kitab suci tetapi PAS setiap kali berjanji, dia akan menunaikan janjinya.

“Kerana dia (pemimpin PAS) takut apabila berdepan dengan Allah SWT, dia tidak dapat menjawab soalan-soalan para malaikat Allah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri berkata demikian pada majlis Perasmian Taska tersebut, di sini, pada 15 September.

Menurutnya, beberapa buah taska akan dibuka lagi bagi memenuhi keperluan kakitangan awam berhampiran tempat kerja daripada semasa ke semasa.

” Antaranya TASKA UniSZa Kampus Tembila, TASKA Perbadanan Memaju Iktisad Negeri Terengganu(MPINT) TASKA Hospital Nur Zahirah dan TASKA Jabatan Kerja Raya @ Wisma Negeri,” jelas Hanafiah.