Jangan Tutup Pintu Kerjasama, Musuh Boleh Jadi Kawan

23

KUALA TERENGGANU – PAS perlu bersikap terbuka dalam mengurus hubungan politik dengan mengambil kira kemungkinan perubahan pendirian dan jajaran politik pada masa akan datang.

Tmbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Ahmad berkata, gerakan politik dan dakwah tidak seharusnya membina permusuhan sehingga menutup terus ruang untuk kembali bekerjasama.

Sebaliknya setiap hubungan perlu diurus secara bijaksana dan berpada-pada.

“Boleh jadi satu masa dia akan berubah jadi kawan. Jadi kita jangan sampai habis licin. Ada ruang untuk berpakat balik hari ini.

“Sifat orang dakwah, orang parti, orang jemaah, dia kena ada sifat yang terbuka. Boleh jadi satu masa dia akan jadi kawan kamu, sahabat kamu,” jelasya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Unit Tubuh, Hulu Besut, semalam.

Menurutnya, pendekatan sama turut perlu diamalkan ketika berdepan dengan pihak yang dianggap sebagai rakan, kerana perubahan dalam politik boleh berlaku dari semasa ke semasa.

“Bila kamu berbaik dengan seseorang, berbaik dalam keadaan berpada-pada, boleh jadi satu masa nanti dia akan bertukar jadi musuh kita,” ujarnya.

Wan Azhar berkata, perkembangan politik semasa juga menunjukkan keperluan pimpinan parti membuat ijtihad dan mengolah situasi berdasarkan keadaan semasa, termasuk dalam menentukan bentuk kerjasama menjelang pilihan raya.

Beliau menambah, dalam menghadapi pilihan raya, gerak kerja parti perlu memberi perhatian kepada dua perkara utama iaitu angka dan minda masyarakat.

“Angka, pimpinan kita olah macam mana nak capai maksimum benda ini. Yang keduanya adalah minda, macam mana nak mengolah minda dan pemikiran masyarakat kita supaya mereka lebih terbuka.

“Medan kita dalam kerja-kerja kita ini harus kita ambil kira soal bagaimana nak menguasai hati budi masyarakat,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan gerak kerja pilihan raya perlu dilaksanakan secara strategik, praktikal dan taktikal, selain mengambil kira keutamaan supaya masa dan tenaga jentera dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Katanya, pendekatan dakwah juga perlu diperkukuhkan khususnya di kawasan yang masih sukar ditembusi melalui kuliah, ziarah dan pendekatan kemasyarakatan secara berterusan.

Mengenai hubungan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), Wan Azhar mengakui ia bukan sesuatu yang mudah susulan pengalaman politik yang panjang, namun mengingatkan bahawa perubahan hubungan antara parti tetap boleh berlaku.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan perkembangan semasa menjelang PRN Melaka, yang menyaksikan pelbagai kemungkinan jajaran politik masih dibincangkan.

Setakat 23 September, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata belum ada keputusan mengenai kerjasama politik bagi PRN Melaka dan urusan rundingan diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

Wan Azhar berkata, apa juga perkembangan politik yang berlaku perlu dilihat dengan kebijaksanaan dan keterbukaan, selain terus memberi keutamaan kepada gerak kerja parti serta usaha mendekati masyarakat.