KUALA TERENGGANU – Umat Islam diseru agar jangan pernah berhenti peduli, berdoa dan bertindak demi membela keadilan dan kemanusiaan yang sedang diinjak saat ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS kawasan Dungun, Dr Tengku M Fakruddin berkata, perhimpunan Solidariti ini menjadi bukti bahawa isu Palestin bukan sekadar polemik politik, tetapi amanah iman dan kemanusiaan yang menuntut tindakan berterusan.
“Wahai saudaraku di Palestin ketahuilah bahawa kami berhimpun hari ini bukan sekadar bentuk solidariti semata, tetapi bukti bahwa hatimu juga adalah hati kami.
“Deritamu adalah luka kami, tangismu adalah doa yang tak henti kami panjatkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya, pada semalam.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap sujud, doa, dan ringgit yang disumbangkan adalah nadi harapan buat rakyat Palestin.
“Dalam tiap sujud, dalam tiap langkah, kami bersamamu dan kamu tidak sendiri.
“Kami akan terus berdiri, ingat, dan berjuang bersamamu, selagi keadilan belum ditegakkan,” tegasnya.
Justeru itu, beliau berharap agar Allah bagi kekuatan kepada rakyat di sana.
“Mudahan mereka sentiasa dalam rahmat Allah dan dikurniakan kemenangan yang dijanjikan,” tambahnya lagi.