Jangan Kejar Jawatan Dan Imbuhan

189

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Ahli, penyokong dan pendokong PAS diingatkan agar jangan meminta jawatan dan imbuhan serta berebut mahu menjadi pemimpin kerana ia dianggap cara yang tidak bermoral.

Tokoh Anugerah Muslimat Istiqamah Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-70 PAS, Ustazah Hajah Raden Siti Bahjah Radin Hadi Munir, 80, berkata, tanamkan keikhlasan dalam diri kerana perjuangan adalah satu cabang ibadah.

“Penglibatan awal saya dalam PAS bermula dengan ajakan arwah suami yang aktif. Tiada niat untuk mengejar sebarang jawatan dan imbuhan dari awal penglibatan sebagai ahli biasa sehingga dilantik menjadi Ketua Dewan Muslimat Negeri Selangor (DMPNS),

“Niat saya adalah untuk memperjuangkan kalimah Allah sambil menemani arwah suami dalam perjuangan ini,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, beliau merupakan mantan Ketua DMPNS 1991-1999, Mantan Ketua DMPK Sabak Bernam 1985-2003, isteri kepada mantan Timbalan Pesuruhjaya(TPJ) Selangor Allahyarham Ustaz Abd Razak Dawami dan pesara guru.

“Sebenarnya ramai lagi layak dari saya untuk menerima anugerah ini namun saya rasa terharu dan mengucapkan alhamdullilah serta syukur ke hadrat Illahi kerana anugerah ini adalah salah satu hadiah oleh Allah untuk hamba-hambanya.

“Secara peribadi saya percaya perjuangan PAS dalam politik di Malaysia adalah sangat relevan pada diri saya kerana dasar utama PAS adalah berlandaskan Al-Quran, Hadith, Ijmak Ulama dan Qias,” jelasnya.

Beliau menambah, sehingga sekarang beliau masih aktif lagi memberi kuliah-kuliah dan menghadiri program walaupun sudah uzur.

“Bagi saya kemanisan dalam perjuangan ini bukanlah ketika kemenangan dalam sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Namun kemanisan yang dapat dirasai apabila berjumpa dengan sahabat-sahabat jemaah yang ikhlas berjuang menegakkan agama Allah. Semoga amalan kami semua diterima.

“Paling sedih ketika kehilangan suami sebulan selepas PRU 1995, ketika itu beliau merupakan salah seorang calon PAS dan waktu itu saya telah menerima sedikit tekanan dari sesetengah pihak yang kurang senang dengan PAS,” ujar beliau lagi.

Justeru itu, beliau menyeru agar semua Muslimat memperbanyakkan berdoa kepada Allah agar ditanam istiqamah di hati untuk kekal dalam Islam dan kebenaran.