Jangan Anggap PRU Akan Datang Mudah

18

KUALA TERENGGANU – Jentera PAS diingatkan supaya tidak menganggap Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mampu dimenangi dengan mudah seperti pilihan raya sebelum ini,

Sebaliknya, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Besut, YB Azbi Salleh berkata, semua ahli dan penyokokong
perlu bekerja lebih keras bagi mempertahankan kemenangan yang dicapai.

Katanya, perubahan landskap politik semasa menyebabkan memerlukan peningkatkan persiapan di semua peringkat dan kemenangan terdahulu tidak seharusnya menjadikan anggota parti berasa selesa atau mengurangkan gerak kerja di akar umbi.

“Pilihan raya ini tak sama dengan pilihan raya dulu. Hari itu menang mudah, tetapi kali ini tidak sama. Jangan duk ingat mudah benda ini.

“Kita kena ingat, untuk menang sebenarnya perlu usaha yang bersungguh-sungguh,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Kuala Besut berkata demikian ketika dihubungi mengulas program Himpunan Unit Tubuh, di Hulu Besut, Selass lalu.

Tambahnya, setiap anggota perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak menunggu sehingga pilihan raya semakin hampir sebelum menggerakkan jentera.

 

Katanya lagi, kerja mendekati masyarakat perlu dilakukan secara berterusan supaya hubungan dengan pengundi tidak hanya berlaku ketika musim pilihan raya.

“Sekaranglah kita kena tunjuk muka kepada masyarakat. Kita kena tampil, terutama di Parlimen Besut yang cukup hebat,” ujarnya.

Azbi turut mengingatkan seluruh jentera supaya bersedia menghadapi sebarang perubahan dalam perkembangan politik dan tidak hanya bergantung kepada satu bentuk kerjasama atau lawan politik tertentu.

“Sekarang kita pun tidak tahu kita akan berlawan dengan siapa. Bukan semata-mata berlawan dengan Umno. Keputusan di peringkat Pusat pun kita belum tahu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru anggota PAS supaya kekal tenang sekiranya berlaku perubahan atau perbezaan pandangan dalam perkembangan politik semasa.

Tambah beliau, apa sahaja keputusan yang dibuat pimpinan perlu diterima dengan penuh kesabaran dan seluruh jentera perlu kembali memberi tumpuan kepada pengukuhan gerak kerja parti.