JAM Pantau Premis PASTI Patuhi SOP

134

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Jabatan Amal Malaysia(JAM) telah ditugaskan untuk memantau pematuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) premis Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) sebagai persediaan bermulanya pembelajaran secara bersemuka nanti.

Komandan JAM Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber memberitahu pihaknya menjalankan tanggungjawab dari kepimpinan Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Malaysia untuk melaksanakan kerja-kerja penaziran ini.

“Audit pematuhan SOP yang bermula pada 2 Februari telah hampir selesai di seluruh PASTI di kawasan Dungun.

“Seramai 16 anggota JAM Dungun dengan kerjasama penyelaras PASTI DUN-DUN turun bersama anggota kami ke semua PASTI.

“Kerjasama dari pengurusan dan cikgu-cikgu PASTI membuat persiapan untuk menanti kehadiran anggota amal utk kerja-kerja audit, kebanyakan menepati syarat yang ditetapkan oleh PASTI Pusat ,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, Pengerusi PASTI Dungun, Fauzi Mahammad berkata Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama Jabatan PASTI Malaysia telah memberi keizinan untuk PASTI beroperasi secara bersemuka bermula 7hb Febuari nanti.

“Sebagai persediaan pembukaan sesi pembelajaran, JAM telah diamanahkan untuk memantau persiapan premis melibatkan pematuhan SOP, aspek kebersihan, keselamatan dan langkah kawalan Covid19.

Justeru, beliau berharap semua pihak disarankan agar dapat memberi kerjasama bagi mengelakkan penularan Covid-19 serta mematuhi langkah- langkah kawalan yang telah diberikan baik dari pihak PASTi mahupun kerajaan.