Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN – Keprihatinan Jabatan Amal Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang melegakan warga emas yang baharu empat hari selesai menjalani pembedahan jantung apabila rumahnya dihempap pokok.
Kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 pagi, jumaat lepas itu, telah meranapkan sebahagian rumah Salleh Mohammad, 60 yang tinggal bersama isteri serta dua orang anaknya Orang Kelainan Upaya(OKU).
‘Pasukan tentera merah’ Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu dibantu Pemuda PAS dan PAS Cawangan Teluk Bidara bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pemindahan peralatan rumah beliau ke tempat tinggal sementara mangsa sekeluarga di Balai Raya Teluk Bidara.
Setiausahanya Mohamad Muaz Anuar berkata pihaknya telah dihubungi oleh PAS Cawangan memaklumkan kejadian tersebut.


Sehubungan dengan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun ketika ditemui berkata pihak cawangan akan mencari rumah sewa sementara menunggu rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) siap.
“Pusat Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu(MAIDAM) akan membantu keluarga dengan memberi ‘one off’ sebagai meringankan beban yang ditanggung,”jelasnya.

























