Isu Tanah Felda/FGV; Anak-anak Peneroka Sokong Usaha Kerajaan

178
ANGGOTA penguat kuasa menjalankan operasi penyampaian Notis 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) untuk kawasan tanah ladang yang diusahakan secara komersial tanpa kebenaran Kerajaan Negeri Terengganu, pada 30 November lalu.

KUALA TERENGGANU — Suara anak-anak peneroka Felda di Terengganu semakin lantang menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan negeri menuntut hak ke atas tanah yang diusahakan secara tidak sah oleh FELDA/ Felda Global Ventures (FGV).

Anak peneroka Felda Kerteh 6, Mohd Rusman Rani berkata tindakan kerajaan negeri itu, adalah tepat kerana ia berkait dengan hak kerajaan dan rakyat seluruhnya.

“FGV ini memang banyak putar belit. Saya duduk di Felda, saya tahu perangai mereka dari dulu sampai sekarang.

“Mereka takkan mengaku salah dan takkan duduk semeja dengan kerajaan negeri.” jelasnya.

Beliau menegaskan, isu tersebut tidak melibatkan mana-mana peneroka kerana ladang-ladang disita adalah kawasan yang tidak ada peneroka.

“Ia hanya menjejas pendapatan FGV sendiri. Tapi mereka cuba kaitkan peneroka untuk raih simpati,” jelasnya.

Menurut beliau, Felda sepatutnya berlapang dada dan bersedia berbincang secara profesional dengan kerajaan negeri demi penyelesaian terbaik.

“Pada saya,kerajaan negeri bukannya zalim dengan tindakan, cuma menunggu ruang perbincangan sahaja,

“bagi pihak Felda pula,mesti ada rasa tanggungjawab untuk mengurus dan merancang dengan sebaiknya untuk kepentingan jangka panjang Felda,

“Bukan cari kesalahan kerajaan negeri,” tegasnya ketika dihubungi hari ini,

Beliau menegaskan isu berkenaan langsung tidak menjejaskan peneroka seperti yang cuba di’momokkan’ oleh pihak tertentu.

Mohd Ridhuan Yusoff,

Sementara itu, Mohd Ridhuan Yusoff, 41, anak peneroka Felda Jerangau, turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan undang-undang kerajaan negeri teerhadap Felda/ FGV demi mengembalikan hak rakyat Terengganu.

“Setelah sekian lama rundingan tidak diendahkan, tindakan undang-undang adalah pilihan yang terbaik. Saya sokong seratus peratus kerajaan negeri. Banyak perkara sudah jadi dendam politik seperti isu wang royalti yang menyekat kemampuan kerajaan negeri meneruskan agenda rakyat,” katanya.

Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri kekal tegas dan terus berunding secara diplomatik sehingga mencapai penyelesaian menang-menang, termasuk dalam isu royalti dan hutang LPT2 berjumlah lebih RM1 bilion.

Seorang lagi peneroka Felda Jerangau, Roslan Jusoh berkata, golongan generasi kedua Felda amat bersetuju dengan ketegasan kerajaan negeri.

“Memang adat orang yang sewa tanah kita, patut bayarlah. Dari dulu sampai sekarang tak ada manfaat untuk penduduk Felda, hanya mengkayakan kroni tertentu. Ramai penduduk faham isu ini. FGV bukan Felda, jadi mereka tahu apa sebenarnya berlaku,” ujar beliau.

Katanya, Felda sendiri dilihat lemah dari segi peruntukan sehingga hal-hal asas seperti baik pulih rumah peneroka pun sering terabai.

Manakala Alina Mohamad, Seorang lagi anak peneroka Felda Jerangau turut menolak dakwaan bahawa tindakan kerajaan negeri kononnya akan menyebabkan penduduk Felda dihalau.

“Itu hanyalah polemik ciptaan pihak yang mahu memburukkan kerajaan negeri zalim. Setelah mendapat penjelasan Exco, jelas tindakan ini tidak salah dan tepat pada masanya demi hak rakyat Terengganu.

“Kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu sudah-sudahlah dengan politik murahan, tidak semua perkara perlu di politikkan sebaliknya kebaikan rakyat dan negeri itu perlu diberikan perhatian utama,” ujarnya.

Justeru itu beliau berharap agar isu ini tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya FGV perlu tampil berbincang secara profesional dengan kerajaan negeri demi kepentingan rakyat dan masa depan Felda sendiri.