Isu Rumah Ibadat Tanpa Kebenaran Perlu Ditangani Melalui Saluran Perundangan – DHPP

33

KUALA TERENGGANU – Sebarang isu berbangkit mengenai pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan wajar ditangani sepenuhnya melalui saluran perundangan dan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Dr. Balachandran Gopal Krishnan menegaskan bahawa urusan pembinaan struktur, termasuk rumah ibadat, tertakluk di bawah peraturan PBT dan pejabat daerah yang memiliki kuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan penguatkuasaan.

Menurut beliau, penyelesaian berasaskan undang-undang adalah penting bagi mengelakkan keputusan yang dipengaruhi oleh sentimen yang boleh menggugat perpaduan kaum.

“Pendekatan terbaik dalam isu sebegini adalah dengan memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil, konsisten, dan tanpa dipengaruhi emosi.

“Undang-undang sedia ada memberikan kuasa jelas kepada pihak berautoriti untuk mengeluarkan notis dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Prinsip ini selari dengan semangat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk serta nilai keadilan dan hidup bersama secara aman yang ditekankan dalam Islam, seperti yang termaktub dalam Piagam Madinah,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Balachandran turut mengingatkan semua pihak agar mengendalikan naratif awam berkaitan isu sensitif ini dengan cermat. Beliau menekankan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada aspek pematuhan prosedur dan penambahbaikan sistem pemantauan, bukannya polemik yang boleh mencetuskan ketegangan.

Tambahnya, kematangan dalam menguruskan isu agama amat kritikal memandangkan Malaysia sentiasa menjadi perhatian masyarakat antarabangsa. Justeru, tindakan yang diambil perlu mencerminkan imej negara yang menghormati kedaulatan undang-undang.