Isu Penghinaan al-Quran: Permohonan Maaf Tidak Memadai

255

Saya memandang serius insiden tular melibatkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran serta menghina Nabi Muhammad SAW di media sosial. Perbuatan ini bukan sahaja menghiris perasaan umat Islam, malah menyentuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Saya mengambil maklum bahawa pihak polis telah menahan suspek dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Saya menghargai tindakan awal tersebut, namun saya ingin menegaskan bahawa dalam kes yang jelas menghina kesucian al-Quran dan Nabi Muhammad SAW, permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi untuk menutup kesalahan yang begitu berat terhadap sensitiviti agama dan keharmonian negara.

Saya juga tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilihat terlalu berlemah lembut dalam menangani isu ini. Kerajaan sebelum ini sangat tegas dalam menegakkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja). Justeru, ketegasan yang sama mesti dizahirkan apabila Islam sebagai agama Persekutuan dihina secara terbuka. Undang-undang tidak boleh dilihat selektif atau lunak dalam kes yang menyentuh maruah agama.

Malaysia adalah negara hukum sepertimana yang diungkapkan sendiri oleh Perdana Menteri. Kebebasan bersuara tidak pernah bermaksud kebebasan menghina agama. Setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama wajib menghormati kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta menjaga sensitiviti masyarakat majmuk.

Saya menggesa kerajaan memastikan siasatan dijalankan secara telus, adil dan tegas, serta mengambil tindakan sewajarnya menurut lunas undang-undang. Isu ini bukan soal politik, tetapi soal prinsip dan maruah agama. Ketegasan dalam mempertahankan kesucian Islam adalah asas kepada kestabilan dan keharmonian negara.

Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli
Yang Dipertua PAS Dungun
Ahli Parlimen Dungun