KUALA TERENGGANU — Kerajaan PAS Terengganu menegaskan bahawa segala polemik berkaitan isu Tanah FELDA perlu dirujuk kepada rekod rasmi dan bukannya berdasarkan maklumat tular yang tidak sahih di media sosial.
AHli Jawatankuasa PAS Terengganu, YB Dato Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan negeri memiliki rekod lengkap berhubung status tanah tersebut, termasuk pengesahan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang membuktikan keputusan dibuat mengikut undang-undang.
“Isu Tanah FELDA kita perlu rujuk fakta, bukan viral. Fakta jelas dan rekod lengkap kita ada,” jelas ADUN Paka itu, dalam laman sosialnya, semalam.
Menurut beliau, isu ini bukan perkara politik, sebaliknya melibatkan pengurusan tanah rakyat yang perlu dilaksanakan secara telus bagi memastikan hak peneroka FELDA tidak terganggu dan tiada rezeki mana-mana pihak terkesan.
“Bila dokumen tanah jelas dan semakan PTG sahkan, jadi keputusan kerajaan negeri memang betul.
“Fakta tetap fakta yang betul kita sokong, yang mengelirukan kita betulkan,” ujarnya.
Satiful turut menasihatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan dakwaan viral yang tidak berasaskan fakta kerana boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran peneroka.
“Saya nak tekankan, jangan percaya cerita luar sana. Berpeganglah pada fakta yang sah,” ujarnya.






























