KUALA TERENGGANU – Masalah penyalahgunaan dadah bukanlah isu setempat yang hanya tertumpu kepada negeri tertentu, sebaliknya merupakan masalah global yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk ditangani.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, YB Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas persepsi yang timbul apabila isu dadah sering dikaitkan dengan negeri-negeri dalam kelompok SG4, sedangkan data rasmi menunjukkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi adalah di Kelantan, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah.
“Bagi saya kita tidak menafikan data tersebut, tetapi penyelesaiannya mesti dilihat secara matang dan bersama. Jangan menuding jari kepada negeri atau institusi tertentu. Dadah ini masalah sejagat,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Dakwah berkata demikian dalam siding media selepas Bengkel Pemantapan PEMADAM negeri Terengganu 2025 di Dewan Marwah, Taman Tamadu Islam, hari ini.
Menurutnya, kerajaan Terengganu telah menyedari hakikat tersebut sejak sebelum mengambil alih pentadbiran pada 2018, lalu memasukkan cadangan penubuhan pusat pemulihan Darul Barakah dalam manifesto pilihan raya.
“Alhamdulillah, setelah diberi mandat rakyat, kita laksanakan dan hingga kini Darul Barakah menjadi salah satu usaha besar untuk memulihkan penagih,” jelasnya.
Tambah beliau, bengkel bersama PEMADAM pusat, negeri dan daerah yang berlangsung hari ini membuktikan komitmen semua pihak dalam merangka strategi lebih berkesan bagi membendung penagihan dadah.
“Fokus kita bukan sekadar mengurangkan, tetapi meminimumkan kadar penagihan dadah di masa depan,” tegasnya.