Istiqamah Membawa Islam Dalam Perjuangan

778

PAS adalah parti politik Islam. Dasarnya ialah Islam. Rujukannya ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Untuk menghurai, menjelas dan mentafsir dasar Islam yang dipegang oleh PAS dan bagi memberi arahan dan perintah supaya dasar Islam sentiasa dipatuhi oleh PAS maka ditubuhkan Majlis Syura ‘Ulamak yang diketuai dan dipimpin oleh Mursyidul ‘Am. Inilah yang termaktub dalam Perlembagaan PAS pada Fasal 3, 7 dan 8.

2. Ia bermaksud bahawa PAS dipimpin oleh dasar Islam yang diberi mandat untuk memeliharanya kepada himpunan alim ulamak yang membentuk kepimpinan para ulamak untuk memastikan PAS pada setiap masa berjalan dan seiring dengan dasar Islam. Inilah asas kepada kepimpinan para alim ulamak dalam PAS. Ia adalah kepimpinan jama’ei oleh para alim ulamak dalam PAS yang dipimpin oleh Mursyidul ‘Am untuk sentiasa memantau dan memberi arahan kepada parti. Hal ini selaras dengan firman Allah:

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ (146)

“Dan betapa ramai para Nabi, berperang bersamanya “ribiyyun” (orang yang taat pada Tuhan) yang ramai. Maka mereka tidak lemah semangat terhadap apa yang menimpa mereka di jalan Allah dan mereka tidak lemah jasad dan mereka tidak tunduk hina (kepada musuh). Dan Allah sukakan orang-orang yang sabar”
(Surah Ali Imran:146)

“Ribiyyun” dalam ayat di atas ditafsirkan oleh Imam Ibnu Kathir nukilan daripada Hasan Basri sebagai merujuk kepada alim ulamak yang ramai, sabar, berkebajikan lagi bertaqwa. Para alim ulamak ini membantu para Nabi dalam perjuangan bagi membentuk saf kepimpinan jama’ei.

3. Tujuan PAS telah digariskan dalam Perlembagaan parti Fasal 5 iaitu antaranya ‘memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah’.

4. Ia bermaksud bahawa perjuangan PAS ialah memastikan Islam tertegak dalam masyarakat. Ia memerlukan kerja dakwah yang berterusan. Surau dan masjid menjadi antara medan utama PAS menyampaikan dakwah. Dakwah dalam bentuk tulisan menjadi rencam para ahli dan pimpinan PAS. Pusat pendidikan daripada peringkat asas iaitu PASTI hingga ke Sekolah Rendah dan Menengah seterusnya Universiti menjadi medan pendidikan untuk PAS memacak paksi Islam dalam masyarakat. Diskusi kecil menerusi usrah, seterusnya latihan perkaderan menerusi tamrin dan mukhayyam menjadi asas tarbiyah kepada ahli dan pimpinan PAS. Aktiviti kebajikan diperluaskan dalam masyarakat bagi membawa Islam secara praktikal dalam masyarakat. Itulah kerja-kerja PAS.

5. Fasal 5 juga bermaksud bahawa perjuangan PAS ialah perjuangan politik mendapatkan kekuasaan bagi memastikan tertegaknya Islam dalam pemerintahan. Untuk itu PAS melibatkan diri seawal pilihan raya pertama negara 1955 dan telah berjaya memerintah Terengganu dan Kelantan pada tahun 1959. Perjuangan politik PAS ada pasang dan surutnya dari sudut kemenangan memerintah Kerajaan Negeri dan Pusat namun paksinya satu sahaja iaitu Islam serta hukum-hakam Islam dalam pemerintahan.

6. Terkini, PAS kembali dianugerahkan penglibatan dalam Kerajaan Persekutuan setelah dulunya dikeluarkan pada 1978. Ia hasil muafakat dan sepakat parti-parti yang mempunyai hala tuju bersama iaitu Islam. Meskipun kerajaan ini berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam menyatukan pemikiran kepimpinannya namun Islam, ukhuwah dan persaudaraan sentiasa menjadi landasan penyatuan kepada semua.

7. Dalam usaha perdamaian politik, PAS telah melakar dasar Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) pada April 2016. Ia mengajak semua pihak berpolitik secara damai dan saling bekerjasama untuk kepentingan negara dan rakyat. Dasar ini diperkasakan dalam kerjasama politik PAS dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Jika PAS tidak berjaya untuk memasuki pilihan raya menerusi satu landasan bersama dengan parti-parti politik Melayu Islam maka PAS mengambil politik damai dengan rakan-rakan kerjasama berkempen dalam pilihan raya secara harmoni. Rujukan kita ialah firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)

“Dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah… ”
(Surah al-Maidah: 2)

8. Inilah yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Dan ini juga mungkin akan berlaku dalam PRN Johor dan mungkin juga dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Politik matang memagari perbezaan politik malah mendorong untuk sentiasa bekerjasama dalam perkara melibatkan umat meskipun berbeza. Hal ini kerana kerjasama politik tetap diperlukan untuk kebaikan rakyat dan maslahat Islam sama ada sebelum atau selepas pilihan raya. Politik damai dan harmoni inilah yang menjadi dasar PAS dalam berpolitik sebagaimana digariskan oleh Islam.

9. Atas dasar itulah Mursyidul ‘Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin telah menegaskan hasil Muzakarah Majlis Syura ‘Ulamak pada 31hb Disember 2021 bahawa PAS terus memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional sebagai usaha menyatukan kuasa politik Islam. Mursyidul ‘Am menyeru semua pihak menjadikan mesyuarat dan perundingan sebagai medan penyelesaian konflik antara parti Melayu Islam yang bekerjasama. Apa pun konflik yang timbul semua pihak perlu terus bekerjasama dalam konteks yang lebih luas demi kebaikan negara dan umat.

10. Dalam Piagam Muafakat Nasional dinobatkan satu peruntukan iaitu “asas rujukan persefahaman ini dan sebarang keraguan mengenainya adalah merujuk kepada sumber-sumber hukum berdasarkan al-Quran, al-Hadith, Ijmak dan Qias”.

Ia mengambil roh peruntukan dalam Piagam Madinah yang menyebut:

وأنكم مهما اختلفتم فيه من شئ فإن مرده إلى الله وإلى محمد
“Dan sesungguhnya kamu apa sahaja perselisihan kamu dalam sesuatu perkara maka tempat rujuknya ialah Allah dan Muhammad”

Hal ini menjadi asas muafakat antara PAS dan UMNO. Maka sebarang konflik hendaklah diselesaikan dengan merujuk kepada Islam dan empat sumber hukum dalam Islam.

11. Peperangan politik jahiliah serang-menyerang antara ahli parti Melayu Islam tidak selaras dengan dasar Islam. Semangat pertembungan jahiliah bukan lagi pendekatan yang relevan dalam situasi muafakat dan sepakat umat. Hal ini sesuai dengan teguran Nabi Muhammad SAW kepada golongan Ansar saat tercetus kembali pergaduhan selepas mereka disatukan oleh Nabi SAW:

يا معشرَ المُسلِمينَ اللهَ اللهَ أبِدَعْوَى الجاهليةِ وأنا بينَ أظهُرِكُم بعدَ إذْ هدَاكُم ُاللهُ إلى الإسلامِ وأكرمَكُمْ بِهِ وقطَعَ بِهِ عنكُم أمرَ الجاهليةِ واستنقذَكُم به من الكفرِ وألَّفَ به بينَكم

“Wahai sekelian umat Islam. (Takutlah kepada) Allah! (Takutlah kepada) Allah! Adakah seruan jahiliah (diseru) sedangkan aku masih berada di kalangan kamu setelah mana Allah kurniakan hidayah kepada kamu menerima Islam dan Dia memuliakan kamu dengannya? Dia memutuskan kamu daripada perlakuan jahiliah, menyelamatkan kamu daripada kekufuran dan menjinakkan hati-hati kamu”.
(rujuk Fathul Qadir, Imam Syaukani)

Tidak wajar membakar jambatan kerjasama dan persaudaraan kerana salah faham yang boleh diluruskan menerusi mesyuarat dan perundingan. Inilah roh peringatan daripada Mursyidul ‘Am PAS.

12. PAS terus istiqamah memimpin umat dan politik negara berasaskan Islam dengan merujuk kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Ahli PAS tentunya terus istiqamah membawa dakwah dan politik damai dalam Islam.

Terus Istiqamah dengan Perjuangan!

Dr Khairuddin Takiri
Jumaat 4hb Februari 2022