Iran Seru Umat Bersatu Lawan Israel, AS

363
Valioallah Mohammadi Nasrabadi (kanan)

KUALA NERUS – Iran menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya bersatu menentang ancaman terhadap negara-negara Islam, susulan serangan ketenteraan oleh Israel dan Amerika Syarikat.

‎Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi menegaskan perpaduan umat Islam amat penting terutamanya dalam situasi peperangan yang sedang berlaku di Iran dan Palestin.

‎”Umat Islam di seluruh dunia mesti bersatu menentang musuh. Musuh utama sekarang ialah Israel yang membunuh ramai orang awam tidak berdosa di Gaza dan tempat lain,” katanya.

‎Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Perasmian Penutup Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak, di sini, hari ini.

‎Beliau berharap, dengan perpaduan umat Islam, tindakan tegas dapat diberikan supaya serangan terhadap negara Islam tidak berulang.

‎Mengulas mengenai hubungan dua hala, beliau berkata, hubungan rapat antara Iran dan Malaysia telah terjalin sejak lebih satu abad lalu bermula daripada hubungan rakyat kedua-dua negara.

‎Menurutnya, Iran dan Malaysia juga menjadi anggota organisasi antarabangsa termasuk D8 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

‎”Selepas kemerdekaan Malaysia, Iran mengiktiraf negara ini dan membuka kedutaan.

‎”Sejak itu, kami berusaha menjadi rakan rapat. Banyak peluang kerjasama boleh diterokai, termasuk di forum antarabangsa dan dua hala.

‎”Saya optimis hubungan ini akan terus berkembang demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” katanya.- BH