KUALA TERENGGANU – Tadbir urus berintegriti dan penyatuan ilmu Naqli serta Aqli dikenal pasti sebagai keperluan segera dalam usaha memperkasa Madrasah Dar dan Sekolah Rendah Islam di Terengganu.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang berkata, Seminar Pemerkasaan Madrasah Dar dan Sekolah Rendah Islam yang dianjurkan itu menjadi medan penting untuk merangka strategi konkrit bagi memperkukuh benteng pendidikan Islam negeri ini.
Katanya, institusi pendidikan Islam yang bernaung di bawah Jabatan Persekolahan dan Tarbiah Dar Dewan Ulamak PAS Terengganu berperanan sebagai teras melahirkan murid berilmu, beramal dan bersedia berjihad demi agama dan masyarakat.
“Tema integriti institusi, integrasi ilmu iaitu memperkasa generasi berjihad menuntut kita menegakkan tiga tiang utama iaitu tadbir urus yang telus dan bebas penyelewengan, kurikulum holistik yang menyatukan ilmu agama dan duniawi, serta pembinaan generasi berakhlak dan berjiwa perjuangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, hari ini.
Ustaz Husain turut menegaskan bahawa dualisme ilmu perlu ditangani segera melalui semakan kurikulum agar keseimbangan antara Fardu Ain dan Fardu Kifayah dapat dicapai.
Di samping itu, memperkukuh silibus akidah, sirah dan kefahaman haraki.
Dalam masa sama, aspek kualiti guru dan kepimpinan sekolah perlu diperkasakan dengan latihan pedagogi moden dan penggunaan teknologi maklumat.
“Selain memastikan pemimpin sekolah berfungsi sebagai Qā’id yang membudayakan kecemerlangan profesional,” ujar beliau.
Dato’ Haji Husain juga menekankan kepentingan integriti guru dan kebajikan mereka sebagai aset utama institusi, termasuk penyeragaman skim gaji, jaminan keselamatan sosial serta penubuhan tabung kebajikan khas.
“Tegakkan Integriti Institusi dengan penuh kejujuran dan ketelusan, agar pengurusan
kita menjadi teladan.
“Laksanakan Integrasi Ilmu secara holistik, menyatukan Naqli dan Aqli demi melahirkan insan yang berilmu dan beramal.
“Kukuhkan generasi berjihad yang siap siaga untuk amal jama’ie dan dakwah lapangan, menjadi aset terpenting bagi perjuangan Islam,” tegasnya.
Tambahnya, apabila tiga tiang ini berdiri teguh, institusi ini akan kekal lestari dan meraih keyakinan penuh daripada masyarakat.
“Inilah janji kita kepada Allah SWT, inilah hasrat tertinggi Dewan Ulama.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk penggubal dasar, pentadbir dan guru agar melaksanakan resolusi seminar sebagai amanah jihad demi memastikan kelestarian institusi serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Madrasah Dar dan Sekolah Rendah Islam kelolaan Dewan Ulama PAS Terengganu.

























