Ingat Maulidurrasul Ingat Hari Qiamat

756

Oleh : Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

Hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut maulidurrasul, hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Amalan ini adalah satu adat yang dilakukan oleh umat Islam. Perbincangan di sini bukannya soal hukum menyambut maulidurrasul, ianya perkara baik yang boleh diteruskan, apa yang penting ialah bagaimana cara menyambutnya bukan ianya boleh disambut ataupun tidak ?

Apabila menyambut hari yang besar ini sudah tentu kita bergembira dengannya, kerana kelahiran Nabi Muhammad s.a.w adalah membawa rahmat kepada seluruh alam. Ketika baginda dilahirkan, manusia sangat berhajatkan kepada seorang nabi untuk mengeluarkan mereka daripada kegelapan jahiliyyah kepada cahaya iman. Dunia arab berada dalam jahiliyyah syirik, dunia Rom berada dalam jahiliyyah gilakan kuasa sehingga memperhambakan sesama manusia, dunia Parsi berada dalam jahiliyyah keruntuhan moral sehingga mengharuskan perkahwinan ayah dengan anak perempuannya, dunia di sebelah asia seperti India dan China hanyut dengan jahiliyyah tahyul dan falsafah.

Perutusan Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk meruntuhkan jahiliyyah yang bermaharajalela di dalam kehidupan manusia ketika itu dan di sepanjang zaman. Jahiliyyah di sini bukan ertinya jahil untuk mencari makan minum dan harta benda. Manusia pada ketika itu sangat hebat dari sudut perkembangan ilmu pengetahuan dan pembangunan lahiriyyah seperti tamaddun Rom dan Parsi yang telah berjaya membina tamaddun kebendaan sehingga boleh dilihat sehingga hari ini. Jahiliyyah di sini ialah kerana manusia tidak mengenal TuhanNya sehingga membelakangkan perintah dan hukum-hakamNya.

Selama 23 tahun Nabi Muhammad s.a.w berjuang untuk meruntuhkan jahiliyyah ini sehingga baginda berjaya membentuk satu masyarakat yang dipuji oleh Allah di dalam Al-Quran dan dibaca oleh manusia di sepanjang zaman. Firman Allah yang bermaksud:

” Muhammad itu adalah Rasulullah dan orang-orang yang bersamanya bersikap tegas ke atas orang-orang yang ingkar dan berkasih sayang sesama mereka ” (Surah Al-Fath)

Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan oleh Allah untuk membina diri manusia sesuai dengan sifat semulajadinya sebagai manusia. Membina diri manusia dengan iman dan Islam untuk diisi di dalam rohani, pemikiran dan jasmaninya. Bukan sebagaimana tamadun pada hari ini yang hanya melihat manusia dari sudut lahiriyyah semata-mata sehingga menjadikan manusia umpama binatang yang tidak mempunyai akal fikiran.

Di saat kita bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w kita juga mestilah berwaspada dengan menggingatkan diri masing-masing akan Hari Qiamat. Kerana kelahiran Baginda adalah di antara tanda-tanda besar berlakunya Qiamat. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ” Aku dibangkitkan, di antara aku dan Qiamat seperti dua jari ini ( Baginda menunjukkan dengan kedua jari telunjuk dan tengah ) “. Maksudnya; selepas aku tiada lagi nabi dan akan berlakunya Qiamat, sebagaimana selepas jari telunjuk itu tiada jari lain melainkan jari tengah.

Oleh kerana itulah Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi yang paling banyak menerangkan berkait dengan tanda-tanda berlakunya Qiamat. Samaada tanda-tanda yang besar atau tanda-tanda yang kecil, samaada yang telah berlaku atau yang sedang berlaku dan akan berlaku kelak. Bila kita melihat tanda-tanda ini berlaku di hadapan mata, meningkatkan keimanan kita akan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Sebelum berlakunya Qiamat yang memusnahkan dunia dan alam semesta ini, akan berlaku terlebih dahulu kemusnahan di dunia, bukan sahaja dari sudut lahiriyyah tetapi yang lebih besar lagi ialah kemusnahan akhlak dan moral. Banyaknya zina, arak dan jenayah. Orang yang membunuh tidak tahu kenapa dia membunuh dan orang yang dibunuh tidak tahu kenapa dia dibunuh. Nyawa manusia yang sangat mahal di sisi Allah menjadi begitu murah sehingga boleh dibeli dengan harga yang begitu murah. Orang yang benar dianggap pembohong dan sebaliknya pembohong dianggap sebagai orang yang benar. Orang yang amanah dianggap pengkhianat dan pengkhianat dianggap sebagai orang yang amanah. Pemimpin yang memerintah tidak berakhlak di dalam mengurus amanah kepimpinan. Matlamat menghalalkan cara, matlamat untuk terus memerintah bagi mengaut wang ringgit dan harta benda menghalalkan rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran. Benarlah apa yang diucapkan oleh Nabi s.a.w di dalam satu hadis yang mafhumnya; di antara tanda berlakunya Qiamat ialah apabila urusan diberikan kepada orang yang bukan ahlinya.

Bilakah berlakunya Qiamat adalah di dalam ilmu Allah. Persoalannya ialah apakah persiapan kita untuk berdepan dengan Hari Qiamat yang bakal tiba ?

***** Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau menulis artikel ini ketika menghadiri program di Kota Kinabalu, Sabah, pada 13 Rabiulawwal 1435/15 Januari 2014. beliau boleh berinteraksi melaui la,an sosialnya https://m.facebook.com/mkhalilabdulhadi