Ijtimak; Mesej Besar Satukan Umat Islam

405
Nik Mazli Mat Yusof

KUALA TERENGGANU – Penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Himpunan Alam Melayu membawa mesej besar dalam usaha menyatukan umat Islam serta memperkukuh peranan rantau Nusantara sebagai blok strategik dunia Islam.

Ketua Penerangan PAS kawasan Besut, Nik Mazli Mat Yusof berkata, program tersebut perlu dilihat dari beberapa sudut penting termasuk agama, sosial dan geopolitik serantau.

Menurut beliau, aspek paling utama ialah usaha memperkukuh perpaduan ummah yang kini berdepan pelbagai cabaran perpecahan di peringkat global.

“Ijtimak seperti ini membawa mesej jelas untuk menyatukan umat Islam tanpa mengira latar belakang politik, bangsa atau negara.

“Ia membuka ruang untuk mengukuhkan ukhuwah Islamiah, menyemarakkan semangat kesatuan serta mengingatkan kembali bahawa ummah adalah satu kekuatan besar,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka PAS Besut, semalam.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa penekanan kepada konsep “Himpunan Alam Melayu” turut memainkan peranan signifikan dalam membina kekuatan serantau.

Katanya, rantau Nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan Brunei mempunyai sejarah Islam yang kukuh serta berkongsi budaya, bahasa dan nilai yang hampir serupa.

“Keadaan ini menjadikan Alam Melayu berpotensi besar untuk muncul sebagai blok kekuatan umat Islam yang stabil, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa,” jelasnya.

Tambah beliau, jika digerakkan secara tersusun, kerjasama antara negara dalam rantau ini boleh diperluaskan meliputi bidang pendidikan, ekonomi dan dakwah.

Sehubungan itu, beliau melihat penganjuran ijtimak berkenaan bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya satu platform strategik ke arah membina kesatuan ummah yang lebih kukuh dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.