KUALA NERUS – Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 menjadi langkah strategik Kerajaan PAS Terengganu dalam mendepani cabaran perpecahan ummah dan arus globalisasi yang semakin mencabar.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, YB Ustaz Dr Khalil Abdul Hadi berkata, program bertemakan “Satu Ummah” itu bertujuan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan umat Islam merentasi sempadan geografi.
Katanya, penganjuran tersebut turut memberi penekanan kepada usaha mengukuhkan jati diri masyarakat dengan menghidupkan semula tradisi dan adab Alam Melayu yang berteraskan nilai Islam.
“Program ini juga menjadi platform penting untuk merumuskan langkah-langkah praktikal dalam memperkukuh ekonomi dan pendidikan ummah,” jelasnya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri berkata demikian ketika berucap dalam program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.
Menurutnya, sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian ilmiah dan rohani diadakan termasuk empat sesi Persidangan Meja Bulat Alam Melayu, pameran jualan serta aktiviti lapangan yang menonjolkan kehebatan tamadun Melayu.
Acara turut diserikan dengan Malam Melayu Berselawat yang bertujuan menyuburkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan penganjuran program berskala besar tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Sekretariat Unit Tubuh Pejabat Menteri Besar Terengganu, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan.
“Tanpa komitmen dan semangat berpasukan semua pihak, program yang penuh bermakna ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.






























