KUALA TERENGGANU – Ibu bapa asas pembentukan akhlak anak sejak sebelum perkahwinan, apabila mereka berperanan penting sebagai qudwah hasanah atau contoh teladan dalam membentuk adab, disiplin dan nilai murni dalam diri anak-anak.
Ketua Ameerah Dungun Nur Izni Aqilah Ismail menegaskan, tanggungjawab mendidik anak-anak bukan bermula selepas kelahiran, tetapi sejak sebelum perkahwinan lagi apabila lelaki dan wanita perlu memahami erti tanggungjawab sebagai bakal ibu dan bapa.
“Pendidikan anak-anak bukan berpusat pada anak, tetapi kembali kepada ibu bapa. Bagaimana kita mewarnai anak-anak bergantung kepada bagaimana kita menjalani kehidupan sebagai ibu dan ayah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam podcast EH Studio Anjuran Ameerah Terengganu, pada #0 Oktober lalu.
Izni berkata, anak-anak bukan sahaja belajar bahasa daripada ibu bapa, tetapi juga cara berkomunikasi, mengawal emosi dan meniru reaksi yang mereka lihat dalam kehidupan seharian.
“Anak-anak memerhati dalam diam. Tanpa kita sedar, mereka menyimpan dan meniru apa yang dilihat serta didengar. Mereka menyerap bukan sekadar bahasa, tetapi juga cara ibu bapa meluahkan emosi dan bertindak,” ujarnya.
Tambah beliau, ibu bapa juga perlu bijak memilih waktu yang sesuai untuk menasihati atau menegur anak-anak, mencontohi sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa menggunakan masa terbaik seperti ketika dalam perjalanan, semasa makan atau ketika anak sakit.
Dalam masa sama, penetapan peraturan rumah tangga perlu dibuat dengan konsisten, bukan mengikut keadaan atau emosi semasa.
“Cabaran besar ibu bapa hari ini ialah kesukaran untuk berkata ‘tidak’ kepada anak. Anak-anak berhak menyatakan pendapat, tetapi ibu bapa perlu tetap menjadi panduan utama dengan komunikasi yang baik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa antara kaedah paling berkesan menanam nilai dan adab dalam diri anak-anak ialah melalui doa ibu bapa.
“Doa ibu bapa amat mustajab di sisi Allah. Ia menjadi sumber kekuatan dan keberkatan dalam membentuk akhlak serta jati diri anak-anak,” tambahnya.





























