Himpunan Alam Melayu 2026 Platform Penting Menyatukan Umat

98

KUALA TERENGGANU – Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 & Himpunan Alam Melayu 2026 menjadi platform penting dalam usaha menyatukan umat Islam tanpa mengira latar belakang, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia masa kini.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya kaum wanita, agar hadir ke program tersebut sebagai medan memperkukuh kesatuan ummah.

Katanya, himpunan itu bukan milik mana-mana kelompok atau parti politik, sebaliknya merupakan ruang terbuka yang menghimpunkan umat Islam atas dasar persamaan iaitu agama sebagai penyatu.

“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar, umat Islam perlu kembali bersatu dan memperkukuh perpaduan demi masa depan yang lebih kukuh.

“Kaum wanita memainkan peranan besar dalam membina generasi kerana dari didikan seorang ibu lahirnya anak-anak yang mencintai agama dan memahami perjuangan ummah,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, program yang berlangsung selama tiga hari itu akan dipenuhi dengan pelbagai pengisian ilmiah, kekeluargaan dan aktiviti yang mampu menyemarakkan semangat perpaduan serta kecintaan terhadap agama dan bangsa.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua wanita, ibu, beliawanis serta seluruh keluarga agar bersama-sama hadir bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai penggerak kesedaran ummah.

“Ia adalah ruang untuk kita menyatu hati, memperkukuh kefahaman dan menghidupkan semangat perpaduan demi agama, bangsa dan masa depan ummah,” ujarnya.