KUALA TERENGGANU – Peranan ulama dalam perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British tidak wajar dilupakan, malah perlu terus diketengahkan dalam naratif sejarah kemerdekaan negara.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, setiap kali memasuki bulan Ogos, tumpuan masyarakat lazimnya diberikan kepada tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan, namun sumbangan golongan ulama sering kurang diberi perhatian.
Menurutnya, ulama memainkan peranan besar dalam membangkitkan kesedaran rakyat menerusi gerakan menentang penjajah, meniup semangat jihad, memperjuangkan pendidikan dan menggerakkan perjuangan politik Islam.
“Ulama telah memainkan peranan penting dalam kemerdekaan Tanah Melayu melalui gerakan menentang penjajah, meniup semangat jihad, menubuhkan parti politik Islam serta menjadi rujukan dalam menentukan tarikh kemerdekaan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, antara ulama dan tokoh agama yang terlibat dalam gerakan menentang penjajahan termasuk Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan serta Datuk Bahaman dan Tok Gajah di Pahang.
Katanya, perjuangan ulama turut dilaksanakan melalui institusi pendidikan apabila madrasah dan sekolah pondok dijadikan medan membina kesedaran Islam, semangat cinta tanah air serta pemikiran yang menolak penjajahan.
“Peranan ulama ini dapat dilihat khususnya antara 1906 hingga 1942 melalui penubuhan sekolah, madrasah dan pondok, selain penerbitan surat khabar, majalah, penulisan kitab serta aktiviti penterjemahan.
“Gerakan Islah atau Gerakan Pemulihan Islam turut menyemarakkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan intelektual Melayu ketika itu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Wan Mat berkata, sebahagian ulama turut memilih wadah politik sebagai medan perjuangan, termasuk melalui penubuhan Hizbul Muslimin sebelum kemudiannya terlibat dalam perjuangan PAS.
Menurutnya, gerakan tersebut antara lain memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu sepenuhnya daripada pengaruh asing dan mempertahankan kedudukan Islam serta hak orang Melayu dalam pembentukan negara.
Beliau turut menegaskan peranan ulama bukan sekadar sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat, malah menjadi tempat rujukan pemimpin politik serta Raja-Raja Melayu.
Katanya, Syeikh Abdullah Fahim, seorang ulama falak terkenal, merupakan antara tokoh yang dikaitkan dengan cadangan dan perancangan tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan.
“Kesimpulannya, peranan para agamawan dan ulama amat besar dalam membina rakyat yang mempunyai kesedaran serta semangat kemerdekaan sehingga akhirnya membawa kepada pembebasan Tanah Melayu daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957,” tambah beliau.





























