HAMRA KT 2026 Tanda Kesiapsagaan Ameerah

28

KUALA TERENGGANU – Himpunan Ameerah (HAMRA’) 2026 menandakan kesiapsiagaan Ameerah memperkukuh gerak kerja dakwah, tarbiah, kebajikan dan siasah dalam melahirkan ‘saf’ pelapis perjuangan Islam.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, muslimat muda merupakan aset penting dalam memastikan kelangsungan ‘mata rantai’ yang sanggup berkorban demi Islam.

Menurutnya tunas baharu perlu disuburkan dengan ilmu, tarbiah dan kefahaman agama untuk tumbuh menjadi pohon yang rendang.

“usaha mewujudkan kepemimpinan wanita yang berwibawa, berakhlak dan istiqamah perlu diperkasakan bagi menghadapi cabaran akan datang yang semakin kompleks.

“perkumpulan jentera ini bukan sekadar simbolik, malah bukti kesediaan Ameerah menggerakkan agenda kepimpinan dalam kalangan wanita muda secara lebih tersusun dan berkesan,” jelasnya.

Beliau yang Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu berkata demikian ketika merasmikan HAMRA 2026 Kuala Tetengganu di Markaz Tarbiah Kuala Ibai, semalam.

Oleh itu, beliau berharap dengan acara himpunan HAMRA’ 2026 menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai muslimat muda yang berilmu, berdaya saing dan berjiwa pemimpin, sekali gus memperkukuh saf perjuangan Islam.

“Maka kerana itu PAS bukan sahaja mengiktiraf bahkan Kita sangat mengharapkan agar Ameerah atau wanita-wanita muda turut bersama perjuangan sebagaimana dilakukan Oleh Rasulullah untuk menegakkan negara Islam,” tegas beliau

Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu, YB Hajah Zuraida Md Noor.

Selain sesi ucapan, program tersebut turut diisi dengan pertandingan pidato, sesi ‘Town Hall’ serta penyampaian anugerah kepada Ameerah yang cemerlang dalam pengurusan organisasi, pelaksanaan program dan penggerakan anggota.