Pada hari Sabtu, bekas Presiden Amerika Syarikat Jimmy Carter berkata bahawa Abbas akan mengadakan pilihan raya presiden bersekali dengan pilihan raya parlimen apabila beliau menerima permintaan bertulis dari Hamas.
Sehubungan itu, pejuang Palestin dari kumpulan Hamas pada Ahad berkata ia bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya parlimen dan presiden serta menuduh Presiden Mahmoud Abbas menghalang pengendaliannya.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Hamas mengisytiharkan kesediaan untuk bertanding dalam pilihan raya Palestin dan mendakwa Abbas menghalang prosedur berlakunya pilihan raya.
Hamas berkata bahawa Abbas tidak serius mahu menjalankan pilihan raya, kerana beliau tidak mengeluarkan perintah presiden menetapkan tarikh untuk pilihan raya.
Pergerakan itu juga mengutuk Abbas yang menuntut suatu permintaan bertulis daripada Hamas untuk mengadakan pilihan raya dan mengatakan bahawa permintaan Abbas akan ‘mendalamkan jurang perpecahan’ serta Abbas cuba mengelak daripada melaksanakan hasil perjanjian perdamaian.





























