KUALA TERENGGANU – Seluruh rakyat Terengganu diseru untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan Taufan Al-Aqsa yang berlangsung hari ini untuk mengingatkan isu umat Islam, isu Palestin di bumi Gaza.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Yusof Abdul Hadi berkata pada 7 Oktober 2023, satu operasi yang dikenali Taufan Al-Aqsa telah dilancarkan oleh pejuang Islam di bumi Gaza sehingga berjaya memasuki negara haram Israel.
” Alhamdulillah kita melihat Allah Subhanahu wata’ala memberi kemenangan umat Islam di bumi Palestin , bersempena himpunan ini kita ingin mengingatkan rakyat di negeri Terengganu supaya kita mengambil tahu dan mengambil tanggungjawab terhadap isu umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin termasuklah di seluruh dunia, ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Marang turut mengajak seluruh Pemuda Terengganu untuk hadir ke program yang akan diadakan di Dataran Khairunnisa di sini bermula 4 .00 petang ini.
“Himpunan ini juga bermula dengan konvoi motosikal bermula jam 4.00 petang di Stadium Gong Badak dan kemudian akan memasuki konvoi mengikut kawasan -kawasan,” katanya.
Setelah pada itu, tambahnya lagi, diadakan kuliah maghrib dan pada malam itu juga kita akan mendengar ucapan -ucapan daripada pimpinan seperti Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Termasuk Nadir Al-Nuri yang akan menjelaskan kepada kita tentang isu ,terutama isu terbaharu ini berkenaan isu Sumud Frotila yang rancak diperkatakan sekarang,” katanya.
Menurutnya , Pemuda PAS Terengganu sebenarnya bukan bermula pada 17 Oktober ini, tetapi lebih awal daripada itu, iaitu pada 3 Oktober , telah diadakan demonstrasi di seluruh kawasan di Negeri Terengganu.
“Pada 10 Oktober yang lalu, kita mengadakan satu perarakan bot yang mendapat sambutan daripada nelayan -nelayan dan rakyat Terengganu yang memberi sokongan dan solidariti.
“Kemuncaknya pada malam ini , muslimin dan muslimat hadirlah pada malam itu untuk mendengar kupasan-kupasan daripada pimpinan
-pimpinan termasuk orang Palestin sendiri yang akan menceritakan situasi keadaan di Palestin,” jelasnya .