Sekurang-kurangnya seorang telah terbunuh apabila beribu-ribu penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa turun ke jalan-jalan di ibu negara Mesir untuk hari ketiga berturut-turut.
Gelombang terbaru protes nasional di Kaherah bermula pada hari Rabu 19 Mac, yang merupakan ulang tahun ketiga ‘referendum’ kepada pindaan perlembagaan.
Penunjuk perasaan Pro Ikhwanal-muslimin mengangkat tangan yang menunjukkan isyarat empat jari dan melaungkan slogan menyatakan bangkangan kepada kerajaan yang disokong tentera dalam perhimpunan anti-rampasan kuasa di daerah Haram selatan Kaherah dan di El Mohandiseen.
Semalam, Jumaat 21 Mac adalah hari ketiga dalam kempen 11 hari demonstrasi yang dilancarkan oleh Perikatan Kebangsaan bagi Sokongan Kesahtarafan, satu gabungan kumpulan anti-rampasan kuasa yang mempunyai kaitan dengan pergerakan Ikhwanul Muslimin.
Kumpulan itu menuntut keadilan bagi penunjuk perasaan yang dibunuh pada tahun lalu oleh pasukan keselamatan selepas rampasan kuasa terhadap Mohamad Morsi, dan menggesa negara Mesir dikembalikan kepada perlembagaan yang sah, selepas referendum tiga tahun lalu.
Mereka juga menuntut pengaktifan semula proses demokrasi yang gabungan itu percaya telah digugurkan oleh tentera sejak rampasan kuasa.
Para penyokong Ikhwanul Muslimin itu telah berikrar akan mengubah keputusan kerajaan yang disokong tentera itu yang telah mengisytiharkan gerakan Ikhwan sebagai kumpulan pengganas, dan menyeru untuk gelombang baru protes berterusan sehingga akhir Mac atau sehingga permintaan mereka dipenuhi.
Terdapat bantahan minggu ini bukan sahaja di bandar-bandar besar seperti di Maadi, selatan Kaherah dan di Alexandria pada hari Rabu, tetapi juga di bandar-bandar yang jauh terpencil daripada Kafr Al Sheikh di utara dan Asuit di selatan.
Kerajaan telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan dan beberapa penunjuk perasaan telah terbunuh dan cedera dalam tindakan keras terbaru pada Rabu dan Khamis.