HULU TERENGGANU – Aksi rasa kilat (Flashmob) Solidariti Palestin diadakan bukan sekadar perhimpunan biasa, sebaliknya merupakan satu isyarat jelas bahawa masyarakat tidak memejam mata terhadap kezaliman yang berlaku di Gaza dan seluruh Palestin.
Yang Dipertua PAS Hulu Terengganu, YB Maliaman Kassim berkata, program tersebut turut mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, agar lebih cakna terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat.
“Anak muda serta pelbagai lapisan masyarakat bangkit bersatu menyatakan sokongan buat saudara kita di bumi Palestin yang terus dizalimi.
“Kita tidak lupa dan tidak berdiam diri. Kita lawan dengan apa yang kita ada!” katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial, hari ini.
Program berkenaan merupakan anjuran Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu dan berlangsung di pekarangan lampu isyarat Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Kuala Berang.
Flashmob tersebut diserikan dengan laungan semangat, kibaran bendera Palestin serta sepanduk anti-keganasan yang mencerminkan solidariti rakyat Malaysia, khususnya warga Hulu Terengganu, dalam memperjuangkan hak kemanusiaan.
Maliaman turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memberikan sokongan pada petang itu.
“Kami bersamamu, rakyat Palestin,” tambahnya.