BESUT – Empat tan durian menjadi tarikan utama Program Makan Durian Hulu Besut diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan mengeratkan silaturahim masyarakat
Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) PAS Hulu Besut, Abdullah Ghazali berkata, program itu bukan sekadar meraikan musim durian, malah menjadi platform menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan dan mengukuhkan hubungan antara penduduk serta agensi kerajaan.
“Program ini telah menjadi acara tahunan kami. Setiap tahun sambutannya amat menggalakkan kerana ia membuka ruang kepada masyarakat untuk bertemu, beramah mesra dan mengeratkan silaturahim,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut beliau, sebanyak 36 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Hulu Besut masing-masing menyumbang satu pikul durian, selain tambahan kira-kira 400 kilogram lagi, menjadikan keseluruhan durian yang disediakan mencecah empat tan.
Katanya, program itu turut mengundang seluruh penduduk Hulu Besut, semua agensi di daerah Besut, wakil PKM dan i-MiTS seluruh Terengganu serta institusi-institusi utama negeri bagi memeriahkan acara tersebut.


“Penganjuran program berkenaan membuktikan semangat kerjasama dalam kalangan JPKK dan masyarakat terus kukuh, di samping mempromosikan durian sebagai antara hasil pertanian yang menjadi kebanggaan Hulu Besut,” ujar beliau.
Justeru itu, beliau berharap agar program ini terus menjadi wadah penyatuan masyarakat dan dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan yang memberi manfaat kepada semua.































