KUALA TERENGGANU – Pelantikan YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menandakan permulaan fasa baharu dalam hala tuju gabungan itu.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat, Dr Balacandran Gopal Khrisnan, kepimpinan baharu tersebut hadir dalam suasana rakyat mengharapkan alternatif politik yang lebih stabil, berintegriti dan inklusif.
“Beliau memikul amanah besar dalam suasana harapan rakyat yang tinggi terhadap kepimpinan yang lebih tersusun, berintegriti dan inklusif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Balacandran menegaskan bahawa usaha mempererat kesepaduan dalaman dan memperkemas semula struktur organisasi mencerminkan komitmen PN untuk menyusun gerak kerja secara lebih sistematik.
Beliau menambah, pada masa sama memperkukuh dan meluaskan sokongan rakyat.
“Tumpuan kepada pengukuhan muafakat serta penambahbaikan struktur organisasi memberi isyarat jelas bahawa PN bersedia melangkah ke hadapan sebagai teras perubahan yang lebih matang dan berdaya saing,” ujarnya.
Beliau optimis kepimpinan baharu itu mampu memperkukuh saf perjuangan dan membawa naratif politik yang lebih segar dan konstruktif dalam menghadapi cabaran semasa negara.


























