TEHERAN – Hubungan diplomatik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) kini berada di tahap paling meruncing selepas Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, menyelar sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump dengan menyamakannya seperti “Syaitan”.
Kenyataan balas yang dikeluarkan dalam nada agresif itu menyusul selepas bedilan udara maut oleh tentera AS yang mengorbankan orang awam di wilayah selatan negara itu, baru-baru ini.
Melalui satu hantaran rasmi di platform media sosial miliknya, Ghalibaf secara terbuka mengecam strategi ketenteraan Washington yang didakwa sengaja menyasarkan kawasan penempatan penduduk.
“Jika sesebuah kuasa bertindak seperti Syaitan, memilih sasaran seperti Syaitan, dan membunuh seperti Syaitan, maka ia adalah Syaitan,” tegas beliau bagi menggambarkan kemarahan Teheran terhadap serangan tersebut.Serangan bom waktu malam itu dilaporkan telah memusnahkan sebuah kediaman yang sedang menganjurkan majlis kenduri perkahwinan di bandar pesisir pantai Sirik.
Tragedi berdarah itu disahkan meragut sekurang-kurangnya empat nyawa, termasuk kanak-kanak, selain mencederakan berpuluh-puluh tetamu yang lain.
Ghalibaf turut membangkitkan rekod operasi AS sebelum ini yang pernah menjejaskan sebuah sekolah rendah di Minab serta sebuah dewan sukan di Lamerd bagi mengukuhkan dakwaannya bahawa Pentagon sengaja mencetuskan keganasan terhadap penduduk bebas.
Trump beri amaran sedia serang bila-bila masaSementara itu di Washington, Presiden Donald Trump mempertahankan tindakan ketenteraan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu mesej yang jelas dan tegas kepada Teheran.
Beliau menegaskan bahawa operasi berkenaan adalah perlu demi menjaga kepentingan dan keselamatan aset negaranya.
“Ini merupakan satu serangan yang amat berat (ke atas infrastruktur Iran),” kata Trump kepada pengamal media di Rumah Putih.
Trump menambah: “Angkatan tentera AS berada dalam kesiapsiagaan tertinggi dan sedia untuk melancarkan semula serangan pada bila-bila masa sahaja.
”Dalam pada itu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan rasmi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa operasi mereka menyasarkan golongan tidak berdosa.
Menurut CENTCOM, serangan udara strategik itu dilancarkan bagi melumpuhkan ancaman ketenteraan Iran yang dikesan cuba mengganggu laluan kapal dagang komersial di Selat Hormuz, selain siri percubaan menyerang pangkalan tentera Amerika yang ditempatkan di rantau Timur Tengah.





























