Digitalisasi Pasar Payang Lonjak Produk Tempatan ke Persada Dunia

162
Seorang peniaga Pasar Payang menunjukkan khidmat penjualannya melalui kod QR

KUALA TERENGGANU – Keupayaan teknologi dan dasar digitalisasi Negeri Terengganu perlu digembleng sepenuhnya bagi memperluas capaian Pasar Payang ke dunia pemasaran maya, sekali gus melonjakkan produk tempatan ke pasaran global.

Penolong Setiausaha 1 PAS Kawasan Kemaman, YB Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, Pasar Payang perlu diperkasakan bukan sahaja sebagai pusat ekonomi dan kebudayaan Terengganu, malah menjadi teras kepada gerakan sokongan produk Muslim dan solidariti ummah sejagat.

“Lebih ramai usahawan hiliran tempatan perlu dibangunkan dan diperkasakan bagi merebut peluang daripada kekuatan Pasar Payang yang merupakan destinasi pelancongan ikonik.

“Usahawan batik, emas, tembaga, makanan dan lain-lain perlu terus dimajukan termasuk diberi inovasi agar kekal relevan dan berdaya saing,” jelasnya.

YB Ir Saiful Azmi Suhaili

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Kemasik (ADUN) berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja, Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar Pasar Payang dijadikan pusat utama pemasaran produk-produk Muslim, selaras dengan kempen Buy Muslim First (BMF) dan usaha memboikot produk Israel serta sekutunya yang terus menzalimi rakyat Palestin.

“Kempen memboikot barangan Israel dan sekutunya tidak boleh dihentikan.

“Mereka terus membantai saudara seagama kita di Palestin siang dan malam tanpa henti. Kita perlu terus memperjuangkan alternatif kepada produk-produk keperluan harian bagi menggantikan barangan keluaran sekutu Israel.

“Semoga usaha murni ini dalam membela nasib saudara seagama kita akan melayakkan kita menerima pertolongan Allah serta keberkatan dariNya,” katanya lagi.