KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, telus dan profesional berhubung kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di SMKA (Sekolah Menentah Kebangsaan Agama) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu.
Ketuanya,To’ Puan Zarani Othman
berharap siasatan mestilah cepat dan telus, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta menjelaskan kelewatan siasatan walaupun saksi dan bukti awal telah dikenal pasti.
“Pihak berkuasa juga digesa menjawab mengapa prosedur forensik, termasuk pemeriksaan pakaian mangsa, tidak dijalankan mengikut standard operasi,
“DMPNT menyeru pihak berkuasa mengumumkan perkembangan siasatan secara terbuka dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab tanpa lengah.
“KPM pula diminta mengkaji semula sistem keselamatan di sekolah berasrama bagi mencegah kejadian seumpama ini berulang,” ujarnya.
Zarani berkata demikian satu kenyataan yang dikeluarkan semalam di sini.
Menurutnya, kejadian yang pada awalnya dipercayai berpunca daripada jatuh bangunan kini menimbulkan pelbagai persoalan.
” Ini berikutan timbul dakwaan wujud unsur buli serta pendedahan bukti baharu, kes ini turut mencetuskan gelombang solidariti rakyat di seluruh negara menerusi tanda pagar #JusticeForZara,” jelasnya.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah, sambil menyifatkan kehilangan itu amat menyayat hati kerana berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk menimba ilmu.
“Rakyat Malaysia perlu terus berdiri teguh dalam solidariti #JusticeForZara sehingga kebenaran terbongkar dan keadilan dapat dicapai,” katanya lagi.