PARA pemimpin, ulamak, sarjana dan tokoh masyarakat dari negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam yang bersidang di Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 pada 2-4 April 2026 / 13-15 Syawal 1447 di Negeri Terengganu Darul Iman, dengan ini menegaskan perkara-perkara berikut:
1. Meyakini bahawa Islam adalah asas perpaduan ummah yang berpaksikan keadilan, kesederhanaan dan kebenaran bagi menjamin kesejahteraan sejagat merentasi bangsa, budaya dan geografi.
2. Menggesa semua pemimpin, parti politik dan pertubuhan umat Islam supaya bersatu bagi menjamin kuasa politik umat Islam.
3. Memastikan pemimpin yang dilantik adalah dalam kalangan individu yang bertakwa, berintegriti dan kompeten bagi menjamin kesejahteraan ummah.
4. Menyokong Risalah Amman (The Amman Message) yang memperakui bahawa pengikut kesemua lapan mazhab sebagai ahli kiblat bagi menangani perbezaan dan pertembungan antara mazhab.
5.Menilai dan mendokumentasikan semula sejarah peradaban dan ketamadunan Islam Alam Melayu bagi membersihkannyadaripada penyelewengan naratif.
6.Membetulkan semula silibus sejarah peradaban dan ketamadunan Islam Alam Melayu di semua institusi pendidikan bagi memperkukuh jati diri bangsa.
7. ?Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi serantau dan mengarusperdanakan tulisan jawi di seluruh Alam Melayu bagi mengangkat identiti bangsa.
8.Memperluas rangkaian perniagaan dan melengkapkan rantaian bekalan produk Muslim bagi memperkukuh ekonomi ummah.
9.
Menyeru umat Islam supaya mengutamakan perniagaan dan produk Muslim sebagai pilihan bagi menyemarakkan jihad ekonomi ummah.
Sebagai komitmen menjayakan deklarasi ini, Sekretariat Alam Melayu melibatkan para pemimpin, ulamak, sarjana dan tokoh masyarakat akan ditubuhkan berpusat di Kuala Lumpur.
Sekian.
Terengganu Darul Iman
4 April 2026 / 15 Syawal 1447 –




























