Belanjawan 2026 ‘Bajet Tempang’

107

KUALA TERENGGANU – Belanjawan 2026 yang dibentangkan kerajaan pusat disifatkan sebagai ‘bajet tempang’ apabila berlaku ketidakseimbangan agihan peruntukan antara negeri pembangkang seperti Terengganu yang terus dipinggirkan.

Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Che Hamid menegaskan, sikap sedemikian bercanggah dengan semangat federalisme yang sepatutnya diamalkan secara adil dan saksama demi kepentingan rakyat seluruh negara.

“Belanjawan yang tidak seimbang soal peruntukan di antara negeri-negeri. Peruntukan yang besar di beri kepada Sabah kerana akan berdepan dgn Pilihan Raya Negeri (PRN) pada November ini.

“Negeri-negeri pembangkang masih dianak tirikan. Kerajaan pusat selalu melabel negeri SG4 ketinggalan dalam soal pembangunan sedangkan peruntukan tidak di agih mengikut keperluan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Ahli Dewan Negara itu menegaskan, Terengganu adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, tidak seharusnya dipinggir dalam soal peruntukan untuk pembangunan negeri.

“Kerajaan Pusat sepatutnya mengamalkan semangat federalime yang lebih adil dan saksama demi kepentingan rakyat dinegeri ini dan negara amnya,” tegasnya.

Beliau turut kecewa apabila projek penting seperti Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang menjadi kemudahan asas kepada rakyat Terengganu masih tidak diberi perhatian sewajarnya dalam Belanjawan kali ini.

Menurutnya, LPT3 bukan sekadar jalan raya, tetapi nadi pembangunan ekonomi negeri dan penghubung penting yang akan merancakkan aktiviti perdagangan serta pelancongan di pantai timur.

“LPT 3 sebagai kemudahan asas yang penting bagi membolehkan pembangunan dan meningkatkan ekonomi negeri masih di abaikan dlm belanjawan kali ini.

“Negeri-negeri SG4 juga merupakan negeri pembayar cukai sepatutnya agihan lebih telus dan adil,” ujar beliau dengan kesal.