MARANG–Dalam memastikan bantuan kerajaan memberi manfaat langsung kepada rakyat, seorang penerima menyediakan perkhidmatan cucian van jenazah secara percuma kepada komuniti setempat.
Usahawan tempatan, Nofadli Hissam Ariffin, 38, berkata bantuan peralatan yang diterima melalui Dana Usahawan Terengganu (DUTE) di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah membolehkannya melaksanakan khidmat kebajikan tersebut dengan lebih cekap dan teratur.
Menurutnya, peralatan Karcher Puzzi 8/1c Carpet dan Upholstery Cleaner yang disumbangkan hasil inisiatif Kerajaan PAS Terengganu itu banyak membantu mempercepatkan proses cucian serta meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Dengan adanya peralatan ini, kerja cucian van jenazah dapat dilakukan dengan lebih cepat, kemas dan mengikut prosedur yang betul, ia amat membantu urusan kebajikan masyarakat,” katanya ketika ditemui di kedainya di Padang Midin, Alur Limbat di sini.


Beliau menjelaskan, perkhidmatan cucian van jenazah secara percuma itu disediakan sebagai satu bentuk sumbangan kembali kepada masyarakat, selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang menekankan pendekatan kebajikan, keprihatinan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Nofadli turut menyeru golongan muda agar memanfaatkan peluang yang disediakan oleh Kerajaan PAS Terengganu dengan penuh kesungguhan dan disiplin.
“Kerajaan negeri telah menyediakan bantuan dan peluang. Tanggungjawab kita sebagai usahawan ialah memanfaatkan sokongan tersebut dengan amanah dan bersungguh-sungguh,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Pilihan Raya, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu yang juga Pengerusi Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi & Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Ariffin Deraman atas sokongan berterusan yang bukan sahaja membantu memperkukuh keusahawanan tempatan, malah memberi manfaat terus kepada rakyat.

























