Berpuluh ribu penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di Bangkok, dengan satu perhimpunan besar penyokong kerajaan dijangka turut diadakan, sedang Thailand menghadapi bantahan paling penting sejak berlakunya tunjuk perasaan berdarah dalam 2010.
Pihak berkuasa menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul petang semalam, dengan beribu lagi anggota kumpulan ‘Baju Merah’, yang menyokong kerajaan, dijangka mengadakan perhimpunan serupa di kawasan lain di bandar itu, menjelang malam.
Kedua-dua kumpulan berikrar akan terus berada di ibu kota Thailand itu.
Thailand telah digegarkan oleh beberapa kegiatan tunjuk perasaan setelah mantan perdana menteri, Thaksin Shinawatra, digulingkan pihak tentera tujuh tahun lalu.
Ibu kota Thailand itu sudah beberapa minggu menghadapi bantahan yang disokong pihak pembangkang akibat rang undang-undang pengampunan yang dilihat sebagai usaha membenarkan Encik Thaksin kembali ke negara itu dan mengampunkan mereka yang bertanggungjawab atas tindakan keras tentera terhadap penyokong ‘Baju Merah’ beliau.
Thaksin kini hidup dalam buangan kerana ingin mengelakkan hukuman penjara berhubung tuduhan rasuah.
Rang undang-undang itu telah ditolak anggota Dewan Senat Thailand, tetapi penunjuk perasaan antikerajaan kekal di jalanan dan kini ingin menggulingkan pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Cik Yingluck Shinawatra, adik Encik Thaksin.
Menurut penunjuk perasaan antikerajaan, Cik Yingluck hanyalah boneka abangnya.
Selain kegagalan meluluskan rang undang-undang pengampunan, parti Puea Thai pimpinan Cik Yingluck juga gagal melaksanakan rancangan bagi Dewan Senat yang dipilih sepenuhnya oleh rakyat.
Di tengah-tengah seruan agar beliau meletak jawatan, Cik Yingluck menghadapi perdebatan undi tidak yakin minggu ini.
Namun, kumpulan ‘Baju Merah’ yang menyokong kerajaan telah berikrar akan menyokong pentadbiran Cik Yingluck. – AFP.




























