KUALA TERENGGANU – Anak muda negeri ini digesa agar bangkit mempertahankan Islam dan hak rakyat Terengganu serta menolak budaya songsang yang cuba dibawa masuk ke negeri itu.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Dungun, YB Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin menegaskan bahawa kestabilan sesebuah parti amat penting dalam menjamin kestabilan negara.
“Membandingkan keadaan dalam PAS yang meraikan demokrasi secara harmoni dengan parti-parti lain didakwa bergelut dengan krisis dalaman dan takut mengadakan pemilihan.
“Ketika parti lain hiruk-pikuk dengan isu dalaman dan perebutan kuasa, PAS terus memimpin dengan tarbiah dan prinsip Islam yang jelas,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Sura berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Isu Semasa Pasca Sidang DUN dan Pra Teguh Memimpin Terengganu 1.0 peringkat DUN Rhu Rendang, pada 17 Mei lalu.
Dr. Tengku Muhammad turut menyeru kerajaan negeri menjadikan Madinah Ramadan sebagai pusat dakwah utama dan simbol syiar Islam di Terengganu.
Beliau turut menyentuh kisah Nabi Ibrahim AS sebagai asas kepada pendekatan dakwah yang diguna pakai PAS bermula dengan keluarga, masyarakat, dan akhirnya kepada pemimpin.
“Pendekatan ini kini diaplikasikan dalam pentadbiran negeri melalui sistem teguran dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), meskipun tanpa kehadiran pembangkang.
“Setiap ADUN menyampaikan pandangan dan teguran yang membina kepada kerajaan, dan ia diterima dengan terbuka,” ujarnya.
Beliau juga menggesa seluruh rakyat Terengganu, khususnya anak muda, untuk turun beramai-ramai ke Himpunan Aman pada 14 Jun di Kuala Lumpur sebagai tanda bantahan terhadap tindakan yang didakwa menafikan hak negeri Terengganu berhubung isu royalti dan tanah orang Melayu.
“Kita tidak boleh berdiam diri jika hak rakyat dan negeri terus dinafikan.
“Pemuda mesti bangkit. Ini masa yang kritikal,” tegasnya.
Dr. Tengku Fakhruddin turut menekankan empat ciri utama yang perlu ada pada pemuda PAS iaitu membetulkan niat perjuangan, bersangka baik sesama umat Islam, kuat dalam pendirian, dan lemah lembut sesama Muslim.
“Kita akan berdiri teguh bersama kerajaan negeri.
“Jika ada pihak yang cuba membawa budaya songsang ke Terengganu, Pemuda PAS akan jadi benteng paling hadapan,” tambah beliau lagi.