Bajet Terengganu 2023 ; Berkebajikan Dan Bantu Rakyat

245

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Bajet Terengganu 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Terengganu Dato Seri Dr Ahmad Samsuri minggu lalu, merupakan belawanjawan berkebajikan untuk membantu rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia merangkumi semua sektor ekonomi melibatkan seluruh rakyat negeri Terengganu.

“Bajet yang dibentangkan sebagaimana saya sebut dalam ucapan adalah satu bajet komprehensif, lengkap merangkumi semua aspek sesuai dengan konteks semasa untuk kita mendepani cabaran dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada tahun hadapan,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Batu Buruk berkata demikian ketika ditemui pihak media Majlis Kesyukuran Kejayaan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 Parlimen Kuala Terengganu , di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, pada semalam.

Sementara itu, mengulas situasi politik negara beliau berkata, pembentukan kabinet amat mengecewakan kerana tidak mengutamakan suara dan hasrat rakyat.

“Walaupun Perikatan Nasional belum lagi diberikan peluang untuk membentuk Kerajaan Persekutuan tetapi apa yang berlaku kabinet tersebut tidak menggambarkan hasrat majoriti rakyat.

“Perikatan Nasional (PN) mendapat suara terbanyak khususnya daripada di dalam konteks negara kita.

“Kita tidak boleh melihat jumlah kerusi sahaja tetapi kita perlu melihat undi popular khususnya kaum majoriti melayu Islam

“Daripada data pilihan raya lepas menunjukkan majoriti orang Melayu Islam Bumiputera, Sabah dan Sarawak memberi undi mereka kepada PN,” ujar beliau.

Beliau menambah, PAS sentiasa bersiap-siaga dan tak berhenti bekerja walaupun Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sudah selesai.

“Harapan saya insya Allah, saya percaya dengan mood rakyat pada hari ini dan juga dengan apa yang kita lakukan untuk rakyat negeri Terengganu.

“Menunaikan janji manifesto dan bajet yang mesra rakyat insya-Allah kita dapat mempertahankan kerajaan kita di negeri Terengganu Insyaallah,” tegas Ustaz Khalil.